Covid-19: Penduduk Permatang Janggus gelisah

Selepas sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus diarah tutup Khamis lepas akibat ancaman Covid-19, rasa cemas dan gelisah dalam kalangan penduduk tempatan memang tidak dapat disembunyikan.
Selepas sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus diarah tutup Khamis lepas akibat ancaman Covid-19, rasa cemas dan gelisah dalam kalangan penduduk tempatan memang tidak dapat disembunyikan.
A
A
A

KEPALA BATAS - Selepas sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus di sini diarah tutup Khamis lepas sehingga 8 Oktober ini akibat ancaman Covid-19, rasa cemas dan gelisah dalam kalangan penduduk tempatan memang tidak dapat disembunyikan.

Pengerusi Kariah Masjid Jamek Permatang Janggus, Che Yen Othman, meminta penduduk tempatan, terutama semua murid SK Permatang Janggus yang menjalani ujian saringan Covid-19 terus kekal berada dalam rumah dan tidak keluar jika tiada urusan dalam usaha membendung penularan pandemik itu.

“Sekarang ini, apa yang KKM suruh penduduk buat, kita kena buatlah dan patuh kerana pada masa ini tanggungjawab menjaga diri terletak pada diri sendiri, kita kena jaga kita ketika ini,” katanya ketika ditemui di Permatang Janggus hari ini.

“Perkara ini mustahak dan bukan nak mengada-adakan cerita memandangkan virus ini satu dunia terkena maka kita semua perlu ambil iktibar dan memang diakui rasa cemas ada selepas dapat tahu ada seorang guru, dan semalam pula seorang murid, disahkan positif, penduduk perlu ambil langkah berwaspada,” tambahnya.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati suasana persekitaran di pekan ini nampak lengang, dengan penduduk tempatan mengurangkan aktiviti di luar rumah, dan sekali-sekala kelihatan kereta peronda polis menjalankan rondaan termasuk menasihati serta mengingatkan penduduk supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan berjaga-jaga.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya melakukan rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa persekitaran di Permatang Janggus dalam memastikan penduduk tidak melakukan kekecohan hingga mencetuskan suasana panik.

Beliau ketika dihubungi turut menasihatkan penduduk di kawasan itu agar sentiasa bertenang dan mematuhi SOP yang ditetapkan, bagi memutuskan rantaian penularan wabak berkenaan.

Semalam media melaporkan terdapat tiga kes baharu direkodkan di Pulau Pinang, membabitkan dua kes yang pulang dari Sabah dan satu lagi daripada kluster baharu iaitu Bah Rose yang membabitkan warganegara, termasuk seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun di Permatang Janggus.- Bernama

Artikel Berkaitan: