Pesanan buat Safawi

Safawi (kanan) mengadap Tunku Ismail di ibu pejabat JDT di Johor sebelum berlepas ke Portugal malam tadi. - Foto FB Johor Southern Tigers
Safawi (kanan) mengadap Tunku Ismail di ibu pejabat JDT di Johor sebelum berlepas ke Portugal malam tadi. - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berharap bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid dapat menimba pengalaman berharga apabila diberi kepercayaan beraksi bersama kelab Portugal, Portimonense SC.

Menurut Cheng Hoe, pengalaman yang bakal dibawa pulang Safawi itu sudah tentu akan memberikan nilai tambah buat skuad kebangsaan bagi menghadapi kejohanan di pentas antarabangsa.

“Sudah tentu pengalaman Safawi bermain di Portugal nanti akan memberikan impak positif kepada pasukan negara. Setiap hari dia akan berlatih dan bersaing dengan pemain-pemain yang lebih bagus.

“Dengan pengalamannya, itu boleh memberi semangat kepada rakan-rakan lain dalam pasukan kebangsaan dan tempiasnya akan membawa pasukan negara ke satu tahap yang lebih tinggi,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Dalam masa sama, Cheng Hoe menganggap perpindahan Safawi ke kelab Portugal itu merupakan satu perkembangan positif kepada arena bola sepak negara seterusnya dapat memperkenalkan nama Malaysia di mata dunia.

“Sukan bola sepak di Portugal adalah antara yang terbaik di dunia dan telah melahirkan ramai bintang seperti Cristiano Ronaldo. Jadi ia pentas terbaik bukan sahaja buat Safawi tetapi juga secara tidak langsung menaikkan nama Malaysia supaya lebih dikenali.

“Namun, untuk bermain di kelab tersebut memang memerlukan kerja keras dan Safawi perlu segera menyesuaikan diri di sana. Bukan mudah untuk cuba mengadaptasi dengan bahasa, cuaca dan persekitaran yang baharu.

“Tetapi saya tahu Safawi akan berjaya apabila berada di Portugal nanti dan apa yang penting, dia perlu fight untuk mendapatkan kesebelasan utama pasukan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Selepas menghadiahkan kejuaraan Liga Super kali ketujuh berturut-turut buat JDT malam kelmarin, Safawi berlepas ke Portugal dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.

Perpindahan Safawi ke bumi Portugal sudah pasti cukup dirasai seluruh warga skuad Harimau Selatan khususnya pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selain para peminat dan penyokong kelab dari selatan tanah air itu.

Sebagai rekod, pemain berusia 23 tahun itu telah beraksi cemerlang dalam skuad Harimau Selatan sejak melakukan penampilan sulung pada 27 Januari 2017. Safawi telah melakukan 101 penampilan bersama JDT dengan merekodkan 47 gol dan 18 bantuan jaringan.