X

Kindly register in order to view this article
!

Kembalikan sistem kewangan Islam berasas emas ganti wang fiat

Ahamed Kameel Mydin ­Meera
A
A

KRISIS Ekonomi Asia Timur 1998 menunjukkan yang sistem kewangan Islam berasaskan emas dan perak perlu dikembalikan menggantikan sistem kewangan sedia ada yang berasaskan wang fiat atau faedah.

Panel Kewangan dan Ekonomi Al-Ebreiz Global Capital Berhad, Profesor Datuk Dr Ahamed Kameel Mydin Meera berkata, sejak berlaku krisis itu, beliau mula mempromosikan piawaian kewangan Islam dengan menulis artikel dalam jurnal antarabangsa dan buku.

Menurutnya, beliau juga sering menganjurkan persidangan antarabangsa bagi menyeru supaya sistem kewangan sebenar iaitu wang bersandarkan emas yang adil, stabil dan saksama dikembalikan.

“Pengembalian wang emas ini semakin penting selepas seluruh dunia berada di ambang keruntuhan sistem kewangan dan ekonomi yang akan berlaku pada bila-bila masa disebabkan oleh kemuncak hutang yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ahamed Kameel berkata, beliau mengasaskan Gerakan Keadilan Monetari Malaysia bagi memberi kesedaran kepada parti-parti politik tentang perkara ini.

Katanya, beliau yang menjadi pengerusi pertubuhan itu seterusnya mengembangkan sistem jaringan elektronik tanpa faedah berasaskan emas yang digelar IGENS.

“IGENS dapat menyediakan semua kecairan yang diperlukan oleh ekonomi, menghilangkan secara substansial keperluan untuk meminjam dana bagi modal kerja dan menjaga pengekalan ekonomi berterusan,” katanya.

Menurutnya, beliau berbesar hati menjadi sebahagian daripada inisiatif Al-Ebreiz untuk mengembalikan semula sistem kewangan yang bersandarkan emas dan sistem pembayaran yang bebas daripada unsur riba.

“Ini bukan sahaja selaras dengan prinsip kewangan Islam malah turut dapat mempromosikan struktur kewangan Islam yang sebenar dan menjadi salah satu unsur Rahmatan Lil Alamin pada zaman ini,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!