Britain, EU setuju perjanjian Brexit

Perdana Menteri Britain, Theresa May (tengah) dan Presiden Majlis Eropah, Donald Tusk (kiri) menghadiri mesyuarat khas di Majlis Eropah untuk meluluskan draf perjanjian Brexit di Brussels, semalam. - Foto AFP
Perdana Menteri Britain, Theresa May (tengah) dan Presiden Majlis Eropah, Donald Tusk (kiri) menghadiri mesyuarat khas di Majlis Eropah untuk meluluskan draf perjanjian Brexit di Brussels, semalam. - Foto AFP
A
A
A
BRUSSELS - BELGIUM. Kesemua 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU), semalam meluluskan perjanjian untuk menamatkan keanggotaan Britain dalam blok tersebut malah ia turut memberi amaran sebarang rundingan semula bukan satu pilihan walaupun ditolak Parlimen British.

Ketika berucap di sidang kemuncak di Brussels untuk mengumumkan perjanjian Brexit itu secara rasmi, Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker menyambut baik perjanjian itu yang akhirnya berjaya dicapai selepas rundingan sukar selama hampir dua tahun.

"Ini adalah perjanjian yang terbaik antara kedua belah pihak dan EU tidak akan mengubah kedudukan asasnya pada masa depan. Melihat negara seperti Great Britain meninggalkan EU bukan detik yang patut diraikan, ia adalah perkara menyedihkan dan satu tragedi dalam sejarah EU," katanya.

Terdahulu, Ketua Perunding EU, Michel Barnier berkata, perkongsian Britain dengan EU bagaimanapun tidak berakhir selepas Brexit.

"Perjanjian ini adalah satu langkah perlu untuk membina kepercayaan antara Britain dan EU. Kami perlu membina fasa seterusnya dalam perkongsian. Kami akan kekal sekutu dan rakan kongsi," ujarnya.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, parti pembangkang, Parti Buruh memaklumkan ia akan menolak perjanjian Brexit tersebut.

Pemimpinnya, Jeremy Corbyn mengulangi kenyataan ia adalah perjanjian yang buruk untuk negara terbabit kerana tidak memastikan kepentingan rakyat Britain dan ia sepatutnya melalui proses undian ketika meminta kelulusan Parlimen pada Disember depan.

"Ia tidak memberi jaminan tentang masa depan dan meletakkan kerja serta standard hidup dalam risiko. Jadi, Parti Buruh akan menolak perjanjian itu di Parlimen," jelasnya. - Agensi