X

Kindly register in order to view this article
!

Harimau Kumbang juara Liga Premier 2020

Pemain pasukan Pulau Pinang Endrick Dos Santos Parafita mengawal bola daripada terlepas kepada pemain Kelantan United FC pada perlawanan Liga Premier di Stadium Bandaraya hari ini.
A
A

PULAU Pinang muncul juara Liga Premier selepas membelasah Kelantan United FC 4-0 pada pertemuan di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Kejayaan pasukan Harimau Kumbang, buat pertama kali menjuarai Liga Premier sejak liga itu mula diperkenalkan pada tahun 2004, turut dibantu oleh keputusan seri 0-0 dilakar Kuala Lumpur dalam pertembungan menentang Perak II di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

Ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid menyifatkan kejayaan itu sebagai satu pencapaian yang amat luar biasa dan hadiah istimewa untuk semua penyokong Harimau Kumbang.

Katanya, sasaran yang paling penting untuk pasukan ini pada mulanya adalah untuk melayakkan diri ke Liga Super musim depan, tetapi kini mereka telah mencipta bonus dengan menjuarai Liga Premier.

"Saya amat bersyukur...berkat sokongan kerajaan negeri, pihak pengurusan, penyokong pasukan dan para pemain yang bermain dengan bersungguh-sungguh, kami berjaya melakar sejarah dengan menjuarai Liga Premier dengan berbaki satu perlawanan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini malam tadi.

Manzoor Azwira berkata, beliau berkemungkinan akan memberi peluang kepada pemain muda untuk beraksi dalam perlawanan menentang Terengganu FC II pada 9 Oktober nanti.

"Saya akan teliti keadaan pemain dari segi kecederaan dan penggantungan sebelum menentukan pemain yang akan turun beraksi dalam perlawanan terakhir di Kuala Terengganu nanti...mungkin ada pemain muda yang akan diberi peluang," katanya.

Beliau berharap para pemain dapat menghasilkan satu keputusan yang positif dalam perlawanan terakhir Liga Premier sebelum dinobatkan sebagai juara.

Sementara itu, Manzoor Azwira berkata, fokus pasukannya kini dalam saingan Piala Malaysia yang dijadual bermula pada 17 Oktober.

"Perancangan saya selepas ini adalah untuk menyiapkan pemain dari segi kecergasan dan taktik pemain untuk beraksi dalam kempen Piala Malaysia," katanya.

Berbaki satu perlawanan, Pulau Pinang kini di tangga teratas Liga Premier dengan 26 mata, diikuti Kuala Lumpur di tempat kedua dengan 21 mata yang kedua-dua pasukan akan dinaikkan ke Liga Super 2021. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!