Perhilitan kesan taktik licik pemburu haram

Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bertindak merampas pelbagai senjata yang digunakan pemburu haram ketika menceroboh hutan simpan Taman Negara Pahang dan cebisan anggota badan hidupan liar yang cuba diseludup keluar oleh pemburu haram.
Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bertindak merampas pelbagai senjata yang digunakan pemburu haram ketika menceroboh hutan simpan Taman Negara Pahang dan cebisan anggota badan hidupan liar yang cuba diseludup keluar oleh pemburu haram.
A
A
A

KERAKUSAN pemburu haram memusnahkan khazanah yang selama ini terpelihara di dalam hutan simpan menjadi punca utama flora dan fauna di negara ini diancam kepupusan.

Lebih kronik, manusia tanpa hati ini bakal menjadi punca anak dan cucu kita suatu hari nanti hanya dapat melihat binatang liar seperti gajah, harimau dan tapir yang diawet di muzium.

Malah, menurut kajian penyelidik Malaysia, jika pemburuan haram ini dibiarkan tanpa penguatkuasaan, ia boleh memusnahkan sistem ekologi dan rantaian makanan di dalam hutan sekali gus menyukarkan lagi spesies haiwan terancam ini membiak.

Bagaimanapun, dalam usaha menyelamatkan hidupan liar ini, pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan untuk mengekang pemburuan secara besar-besaran ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, menyedari kesusutan jumlah hidupan liar, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) telah dilancarkan pada 3 September tahun lalu di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak bertujuan meningkatkan keberkesanan dalam membanteras aktiviti pemburuan haram dan penyeludupan hidupan liar.

Abdul Kadir Abu Hashim
Abdul Kadir Abu Hashim

Menurutnya, operasi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pelbagai agensi penguat kuasa lain juga merupakan salah satu gabungan yang dibentuk di bawah kempen Selamatkan Harimau Malaya.

“Bermula dari tempoh itu sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 20 operasi bersepadu telah dilaksanakan termasuk tujuh operasi pada tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang tempoh ini, kita telah menangkap 170 pemburu haram yang terdiri daripada 97 warga tempatan dan 73 warga asing.

“Mengikut jumlah pecahan tangkapan warga asing, seramai 20 adalah warga Kemboja, Indonesia (13), Vietnam (11), China (10), Myanmar (6), Bangladesh (6), Sudan (4) dan Thailand (3),” katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM290,000 dan penjara enam bulan ke atas seorang warga Vietnam kerana terlibat dengan pemburuan haram di Taman Negara pada 18 Ogos lalu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM290,000 dan penjara enam bulan ke atas seorang warga Vietnam kerana terlibat dengan pemburuan haram di Taman Negara pada 18 Ogos lalu.

Taktik pemburu haram

Abdul Kadir berkata, bagi pemburu haram yang ditangkap melibatkan warga tempatan, sebahagian hidupan liar yang disita sepanjang OBK terdiri daripada spesies rusa sambar, kijang, napuh, landak, gajah, babi hutan, ayam hutan, spesies primat dan juga burung liar.

“Hidupan liar ini lazimnya diburu oleh warga tempatan untuk hidangan makanan eksotik selain dijual untuk daging dengan bahagian tertentu lain boleh dijadikan hiasan dan perubatan.

“Bagi tangkapan melibatkan pemburu warga asing, antara hidupan liar yang pernah disita termasuklah daripada spesies beruang, kambing gurun, babi hutan, harimau, musang, landak, tenggiling, kijang, biawak dan ular,” katanya.

Perhilitan merampas bangkai spesis Musang Pulut dengan tertangkapnya seorang lelaki warga Vietnam di Seberang Jaya, Pulau Pinang, 11 Julai lalu.
Perhilitan merampas bangkai spesis Musang Pulut dengan tertangkapnya seorang lelaki warga Vietnam di Seberang Jaya, Pulau Pinang, 11 Julai lalu.

Menurut Abdul Kadir, warga asing yang dikesan menceroboh masuk ke dalam hutan negara dengan tujuan mencari kayu gaharu turut dikesan menjerat hidupan liar untuk dijadikan makanan bagi survival mereka di hutan.

Katanya, jika ada lebihan, mereka akan membawa hidupan liar ini pulang ke negara asal sama ada untuk tujuan perubatan atau koleksi hiasan.

“Pemburu warga asing ini akan berada sekurang-kurangnya 90 hari di dalam hutan. Pada hari ke-45, pembeli akan datang bertemu dengan mereka untuk menghantar bekalan makanan sebelum membawa keluar hasil buruan.

“Selepas tempoh 90 hari, akan datang pula kumpulan pemburu lain yang mana kegiatan haram itu akan dipandu arah oleh salah seorang daripada suspek sebelum itu,” katanya.

Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) membongkar khemah pemburu haram di hutan simpan Taman Negara Pahang.
Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) membongkar khemah pemburu haram di hutan simpan Taman Negara Pahang.

Selain itu, siasatan juga mendedahkan kebanyakan pemburu warga asing yang terlibat dalam pemburuan haram ini dikesan masuk ke negara secara sah tetapi kemudian meloloskan diri melalui laluan tikus ke negara jiran bagi mengelak dikesan.

Abdul Kadir berkata, terdapat juga warga asing yang menjadi pemburu haram bekerja sebagai pekerja ladang berhampiran kawasan hutan.

Menurutnya, hasil tangkapan hidup lazimnya dijual di pasaran antarabangsa mahupun tempatan pada harga yang berbeza bergantung pada saiz, jantina, jenis, kejinakan, spesies, keunikan, umur, permintaan, dan tujuan seperti untuk perubatan dan sebagai haiwan peliharaan.

“Harga di pasaran gelap untuk rusa adalah RM150 hingga RM180 sekilogram, kijang RM100 hingga RM120 sekilogram, ayam hutan RM100 hingga RM200 seekor, tenggiling RM200 hingga RM300 sekilogram manakala paling tinggi ialah landak raya yang boleh mencecah RM1,000 seekor,” katanya.

Katanya, harga pasaran gelap sentiasa berubah-ubah mengikut permintaan dan kesukaran mendapatkan hidupan liar berkenaan.

“Ini terbukti apabila seekor harimau jantan dewasa dikatakan boleh dijual mencecah harga RM300,000 seekor meliputi seluruh anggota badan termasuk tulang, kulit, daging, kuku dan misai,” katanya.Perhilitan rampas jerat haram.

Perhilitan merampas jerat dan bahagian anggota badan kambing gurun dan babi hutan yang telah disejuk beku dalam operasi di sebuah rumah di Genting Highlands, Pahang, 16 April lalu.
Perhilitan merampas jerat dan bahagian anggota badan kambing gurun dan babi hutan yang telah disejuk beku dalam operasi di sebuah rumah di Genting Highlands, Pahang, 16 April lalu.

Abdul Kadir berkata, sejak OBK dilancarkan sehingga Ogos lalu, sebanyak 1,033 jerat dimusnahkan, malah bagi tahun 2019, sebanyak 460 jerat pelbagai jenis dimusnahkan manakala tahun ini membabitkan 573 jerat.

“Kebanyakan jerat yang dirampas adalah jerat dawai yang digunakan bagi menjerat mamalia besar. Selain itu, jerat nilon, perangkap besi, jaring burung, perangkap lubang dan jerat paku turut dijumpai sepanjang operasi OBK.

"Jerat dawai misalnya mendatangkan kesan buruk kepada binatang kerana boleh menyebabkan kematian biarpun binatang itu berjaya diselamatkan,” katanya.

Menurutnya, sepanjang operasi itu, sebanyak 1,082 spesies hidupan liar yang masih hidup berjaya diselamatkan terdiri daripada 410 pelbagai jenis burung, 116 jenis mamalia seperti pelanduk dan landak, reptilia (549) seperti ular dan biawak serta primat (7) antaranya spesies siamang dan ungka.

“Kebanyakan hidupan liar ini dilepaskan semula ke habitat semula jadi,” katanya.

Jerat dawai milik pemburu haram yang dirampas Perhilitan.
Jerat dawai milik pemburu haram yang dirampas Perhilitan.

Menurutnya, harimau belang atau lebih dikenali sebagai Harimau Malaya adalah salah satu spesies hidupan liar di Malaysia yang kian diancam kepupusan atas faktor pengecilan habitat, pemburuan dan kekurangan sumber makanan.

“Spesies ini dianggarkan kurang daripada 200 ekor di taman negara dan hutan simpan di Semenanjung Malaysia.

“Spesies lain yang kian diancam kepupusan ialah beruang matahari, tapir, kambing gurun, seladang serta tenggiling. Sekiranya ia tidak dipulihara, dijangkakan lima hingga 10 tahun lagi spesies-spesies ini akan pupus di habitat asal,” kata beliau.

Abdul Kadir turut mendedahkan beberapa lokasi yang menjadi pilihan pemburu haram antaranya kawasan taman negara, taman negeri dan hutan simpan.

“Selain menjadi tempat habitat hidupan liar, kawasan ini juga mempunyai banyak sumber biodiversiti. Sangatlah penting kawalan dan pemantauan bersepadu secara berterusan diteruskan demi melindungi hidupan liar di negara ini,” katanya.Risiko operasi

Menurutnya, antara risiko sepanjang operasi membanteras pemburu haram adalah serangan hidupan liar di samping pemburu haram sendiri.

“Ada juga anggota yang disengat haiwan berbisa, dipatuk ular kapak dan disengat tebuan tanah. Tidak kurang juga yang mengalami kecederaan parah diserang suspek warga asing bersenjatakan parang.

“Apa yang saya boleh jelaskan adalah kita tidak boleh kerja sendiri. Perlu gandingan kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain seperti pihak tentera dan polis bagi menjadikan operasi itu lebih kuat.

“Selain itu, jumlah keanggotaan juga dapat dipertingkat untuk melaksanakan rondaan di kawasan yang lebih luas selain perolehan aset yang lebih mantap,” katanya.

Katanya, setiap aktiviti jenayah hidupan liar atau sesiapa yang melanggar undang-undang di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Enakmen-Enakmen Taman Negara akan diheret ke muka pengadilan.

“Bukan sahaja pemburu haram, mereka yang bersubahat juga tidak akan terlepas.

“Rakyat Malaysia diharap dapat bersama membantu menjadi mata dan telinga kepada agensi penguat kuasa dan tidak bersekongkol dengan petualang yang hanya mementingkan keuntungan sendiri," katanya.

Menurutnya, sebarang maklumat mengenai kegiatan haram ini boleh disalurkan melalui Perhilitan Hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan menerusi laman web jabatan di www.wildlife.gov.my.