Masalah pendawaian punca utama kebakaran tahun lalu

Abdul Wahab - Foto Bernama
Abdul Wahab - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Masalah pendawaian menjadi punca utama kebakaran struktur pada musim perayaan Aidilfitri tahun lalu, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

Abdul Wahab berkata, selain itu rintangan pemanasan, litar pintas dan terlebih bebanan elektrik pada perkakasan elektrik juga menjadi antara punca utama kebakaran.

Berikutan itu, pihaknya sentiasa memantau trend kes kebakaran yang direkodkan semasa Op Hari Raya Aidilfitri dan orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati dalam penggunaan peralatan elektrik ketika musim perayaan ini.

"Pada tahun lalu, terdapat peningkatan empat peratus iaitu sebanyak 46 kes kebakaran berbanding jumlah kes yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

"Bagi kes penyelamatan dan panggilan tugas khas, kita dapat melihat pola penurunan iaitu masing-masing 6.95 peratus dan 97.52 peratus," katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Emergency Medical Air Rescue Services (EMARS) dan Kempen Keselamatan Musim Perayaan 2023 di pekarangan Pusat beli-belah AEON Shah Alam.

Dalam perkembangan lain, Abdul Wahab berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti dan merancang untuk menempatkan jentera dan keanggotaan di 14 kawasan titik panas kemalangan sepanjang lebuh raya.

Katanya, ia bagi mempercepatkan masa bertindak khususnya di waktu puncak melibatkan jentera pemadaman dan penyelamatan serta jentera Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) di kawasan tersebut.

"Gerakan op ronda dan standby di lebuh raya ini yang bermula pada 20 hingga 27 April ini melibatkan seramai 252 anggota bertugas sehari secara 24 jam.

"Selain itu, bomba juga akan mengambil langkah berjaga-jaga dengan membuat rondaan di kawasan rekreasi tumpuan ramai dan berisiko tinggi berlaku kejadian lemas," katanya. - Bernama