X

Kindly register in order to view this article
!

Guna logo tanpa kebenaran, pengurus kilang disiasat

Pemeriksaan mendapati bungkusan kuetiau disyaki menggunakan logo tanpa kebenaran.
A
A

SUNGAI PETANI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam menahan seorang pengurus kilang pembuatan makanan di Taman Sejati kerana disyaki menggunakan logo tanpa kebenaran.

Ketua Cawangan KPDNHEP Sungai Petani, Mazlan Safar berkata, lelaki berusia 50 tahun itu juga ditahan untuk siasatan lanjut berhubung penggunaan logo Buatan Malaysia yang disyaki menggunakan representasi palsu.

Menurutnya, dalam serbuan jam 4 petang semalam, pihaknya turut merampas makanan siap bungkus bernilai RM453 yang disyaki menggunakan logo terbabit.

"Keseluruhan rampasan melibatkan tiga gulung plastik bungkusan kuetiau dan 90 bungkus kuetiau mentah yang dicetak logo Buatan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anggota penguatkuasa memeriksa bungkusan makanan ketika serbuan dilakukan di sebuah kilang di Taman Sejati semalam.
Anggota penguatkuasa memeriksa bungkusan makanan ketika serbuan dilakukan di sebuah kilang di Taman Sejati semalam.

Beliau berkata, syarikat terbabit disyaki sudah beroperasi kira-kira 10 tahun.

Siasatan akan dijalankan bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika disabitkan kesalahan, syarikat tersebut boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM500,000 dan jika sekiranya kesalahan individu boleh dikenakan denda sebanyak RM250,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, KPDNHEP memberi amaran keras kepada individu atau syarikat supaya mematuhi undang-undang menjalankan perniagaan.

Pengguna disarankan menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan melalui talian hotline 1-800-886-800 atau 04-4205108 atau http://e-aduan.kpdnhep.gov.my


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!