Mampu bertahan jika PKP semula

Saravanan (tengah) menyampaikan sijil dan mesin jahit kepada Shahruol Hadal Hadi, 35, pada Majlis Perasmian Penutupan Program Penjana Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) B40 Kursus Asas Jahitan Pengenalan dan Kursus Penggunaan Mesin Jahit Tepi di Dewan Merdeka Tapah hari ini.
Saravanan (tengah) menyampaikan sijil dan mesin jahit kepada Shahruol Hadal Hadi, 35, pada Majlis Perasmian Penutupan Program Penjana Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) B40 Kursus Asas Jahitan Pengenalan dan Kursus Penggunaan Mesin Jahit Tepi di Dewan Merdeka Tapah hari ini.
A
A
A

TAPAH - Kementerian Sumber Manusia yakin peruntukan RM2.4 bilion bagi subsidi upah yang diumumkan kerajaan baru-baru ini mampu membantu syarikat bertahan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, jumlah tersebut dapat membantu mereka yang terjejas dalam tempoh sehingga tiga bulan termasuk syarikat untuk terus beroperasi.

Menurutnya, menjadi tanggungjawab Kementerian Sumber Manusia untuk memastikan kadar pengangguran dapat dikawal dan pekerja boleh terus bekerja.

"Kita belum tahu sama ada PKP dilaksanakan semula atau tidak kerana ia melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Dengan adanya RM2.4 bilion itu saya percaya jika berlaku PKP kita masih sempat membantu syarikat beroperasi dari segi membayar gaji pekerja dan sebagainya.

"Penting bagi kita ada kewangan yang kukuh untuk menghadapi PKP sekiranya berlaku," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Program Penjana Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) B40 Kursus Asas Jahitan Pengenalan dan Kursus Penggunaan Mesin Jahit Tepi di Dewan Merdeka Tapah di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 September lalu mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM2.4 bilion bagi program subsidi upah melalui inisiatif Kita Prihatin.

Dalam pada itu, Saravanan berkata, beliau percaya PKP tidak perlu dilaksanakan kerana yakin rakyat negara ini boleh mendisiplinkan diri dengan mengikut arahan kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Noor Hisham beri bayangan PKP semula

Artikel Berkaitan: