Saman RM10 juta PKR tidak masuk akal, kata Zuraida

Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menyifatkan saman RM10 juta yang difailkan oleh PKR terhadapnya kerana keluar parti adalah tidak masuk akal.

Malah, Zuraida yang kini sedang menjalani pengawasan di rumah (HSO) turut mencabar PKR meneruskan tindakan undang-undang terhadapnya.

"PKR nampaknya tidak menyedari bahawa dalam amalan demokrasi, wakil rakyat bebas untuk meninggalkan parti politik. Dalam hal ini, saya dipecat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, tindakan saman tersebut membuang masa mahkamah.

"Pelajar undang-undang boleh jelaskan kepada kepimpinan PKR bahawa mahkamah tidak akan menguatkuasakan apa-apa perjanjian yang melanggar Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meminta pimpinan PKR merujuk kepada keputusan Datuk Ong Kee Hui dan Nordin Salleh oleh Mahkamah Persekutuan serta Artikel 10 Perlembagaan.

"Saya meninggalkan PKR kerana parti itu tidak lagi menumpukan kepada rakyat, sebaliknya untuk mencapai cita-cita sebagai Perdana Menteri," katanya.

Kata Zuraida lagi, perebutan kerusi Perdana Menteri dapat dilihat rakyat ketika pemerintahan 22 bulan oleh Pakatan Harapan (PH).

Artikel Berkaitan:

"Mengenai saman yang tidak berfaedah terhadap saya ini, teruskan!" katanya.

Terdahulu Bendahari PKR, Lee Chean Chung dalam kenyataannya berkata, parti itu telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Zuraida.

Saman itu difailkan pada 28 September lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: 12 bekas wakil rakyat PKR bakal disaman RM10 juta

Zuraida tak bimbang surat tuntutan RM10 juta PKR