Kerajaan akan siasat dakwaan FGV guna buruh paksa

Gambar kecil: M Saravanan - Foto Bernama
Gambar kecil: M Saravanan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia akan mendapatkan maklumat terperinci berhubung dakwaan penggunaan buruh paksa oleh syarikat perladangan FGV Holdings Berhad (FGV) dalam pengeluaran produknya.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, siasatan akan dibuat secara menyeluruh sebelum tindakan seterusnya diambil.

"Sabar, (untuk kes ini) banyak pihak yang terlibat, ia terlalu awal. Saya perlu memeriksa apa yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama rakyat di Menara Manikavasagam, di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: AS larang import produk minyak sawit FGV

Amerika Syarikat (AS) dilapor mengharamkan import minyak sawit keluaran FGV susulan dakwaan penindasan pekerja.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS mengumumkan pada lewat Rabu bahawa pihaknya mengharamkan minyak sawit daripada FGV, antara pengeluar utama komoditi berkenaan di Malaysia, selepas siasatan selama setahun.

Jurucakap CBP, Brenda Smith dilaporkan berkata, siasatan mendapati bahawa terdapat petunjuk pekerja ditindas secara fizikal dan seksual, ditakut-takutkan dan gaji mereka ditahan, di samping dakwaan penggunaan tenaga buruh kanak-kanak.

Sementara itu, Saravanan berkata, beliau juga menerima maklumat sebuah lagi syarikat besar di negara ini bakal dikenakan tindakan sama oleh AS. - Bernama

Artikel Berkaitan: