Jangan padam sejarah Raja Laut

No Image Caption
A
A
A

BARU-BARU ini kecoh bila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menukar Jalan Raja Laut kepada Jalan Palestin. Bagi DBKL, ia satu tindakan bagi mengeratkan hubungan dua hala.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, cadangan untuk menukar nama jalan itu tercetus semasa Majlis Himpunan Hari Quds Sedunia yang diadakan di Dataran DBKL pada 26 hingga 31 Mei tahun lalu.

Katanya, Kementerian Wilayah Persekutuan memohon kepada DBKL untuk menamakan sebatang jalan di Kuala Lumpur sebagai Jalan Palestin.

“Menamakan Jalan Palestin itu sebagai simbol sokongan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin dalam menentang penindasan dan seterusnya menubuhkan sebuah negara Palestin,” katanya.

Pada 26 September lalu, Nor Hisham dan Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali telah merasmikan penukaran nama itu.

Namun, apabila DBKL memilih untuk menukar Jalan Raja Laut, seolah-olah memadam sejarah sendiri dan menafikan jasa individu terhadap pembangunan Kuala Lumpur.

Tidak ada masalah untuk meletakkan nama Jalan Palestin sebagai tanda persahabatan antara kedua-dua negara tetapi tindakan DBKL menenggelamkan nama Raja Laut sebagai tokoh Melayu amat dikesalkan.

Tindakan DBKL itu juga tidak disenangi Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang mahu DBKL mencari lokasi lain untuk dinamakan Jalan Palestin.

Artikel Berkaitan:

Bagi generasi baharu, mungkin tidak mengenali siapa Raja Laut.

“Mesti masa kecik-kecik dia tengok cerita Raja Laut lakonan Mokhtaruddin, Ed Osmera dan Latip Borgiba. Dia takut dengan Raja Laut,” kata Baam Al Assad secara bergurau di Facebook.

Filem Raja Laut diterbitkan pada tahun 1982. Dalam filem itu, Raja Laut digambarkan sebagai seorang lanun yang mengganas di laut mengancam para pelaut dengan tindakan di luar perikemanusiaan.

Itu tajuk filem arahan sutradara Z Lokman, tidak ada kaitan dengan Raja Laut yang sebenarnya.

Latar belakang

“Siapa Raja Laut? Mesti seorang yang penting dan berbakti kepada negara. Sebab itu nama diabadikan sebagai nama jalan.

Mungkin ada cara lain yang lebih baik untuk tahap kesedaran mengenai isu Palestin,” kata Awen Romeli di laman Twitter.

Raja Laut yang namanya diabadikan di sebatang jalan itu sebenarnya adalah pembesar Selangor dan individu yang bertanggungjawab menubuhkan sekolah Melayu pertama di Kuala Lumpur.

Menurut portal thepatriots.asia, Raja Laut dilahirkan pada tahun 1850 dan merupakan kerabat kesultanan Selangor.

Beliau menjadi ketua masyarakat Melayu di Kuala Lumpur pada tahun 1880 dan antara individu yang menyelesaikan banyak masalah yang timbul pada ketika itu.

Almarhum tinggal di Kampung Rawa, turut dilantik sebagai Ahli Majlis Negeri Selangor yang bertindak sebagai hakim dan penghulu di Kuala Lumpur.

Pada tahun 1898, Almarhum dimasyhurkan sebagai Raja Muda Selangor dan berpindah menetap di Batu Road. Almarhum meninggal dunia pada tahun 1915.

Apa yang dipersoalkan adalah mengapa DBKL tidak memilih nama jalan Inggeris lain seperti Jalan Stonor, Jalan Conlay, Jalan Cochrane, Jalan Eaton dan banyak lagi.

“Tukar nama dengan Lebuh Pasar Besar pun okey, tiada siapa yang marah,” kata Jay Jay.

Sementara itu, Annuar mengatakan bahawa dia tiada halangan jika sesuatu jalan dinamakan Jalan Palestin namun mempersoalkan alasan jalan yang diberi sempena nama tokoh dalam sejarah Melayu itu dipilih untuk diganti dan bukannya jalan dengan nama Inggeris.

“Kalau aku Datuk Bandar, aku tukar nama jalan kediaman rasmi Duta Amerika ke Jalan Palestin,” ciap Zaiful Ayu Ibrahim di Twitternya.

Seorang pengguna Twitter, Tai Zee Kin berkata, nama jalan tidak seharusnya ditukar tetapi diberi kepada jalan baharu sahaja.

“Setiap tahun banyak jalan raya baharu dibina, kita tidak kekurangan jalan untuk diberi nama. Negara yang menghormati sejarah, jarang tukar nama jalan. Downing, Fleet Street dah ratusan tahun,” ciapnya.

Kita jangan jadi masyarakat yang ghairah untuk menukar benda lama kepada yang baharu. Kerana yang lama juga masih berharga. Paling penting, jasa-jasanya. Juga nostalgianya.

* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif (Cetak) Editorial Sinar Harian