Semua pasukan sudah hantar dokumen pelesenan, penswastaan kelab

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) telah menghantar dokumen berhubung proses penswastaan dan pelesenan, semalam.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, kesemua pasukan telah menghantar dokumen berkenaan kepada pihak sekretariat FAM lebih awal daripada masa yang telah ditetapkan iaitu menjelang 11:59 malam.

"Semua pasukan telah pun menghantar dokumen-dokumen yang diperlukan bagi tujuan penswastaan dan juga pelesenan sebagaimana yang telah kita arahkan sebelum ini.

"Kesemua dokumen berkenaan kini berada dengan pihak sekretariat yang sedang meneliti dan membuat semakan akhir terhadap semua dokumen yang dihantar," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sinar Harian difahamkan badan induk bola sepak negara itu akan mengadakan satu sidang media berhubung penswastaan dan pelesenan kelab di Wisma FAM pada 5 Oktober ini.

Sementara itu, Stuart berkata, proses penswastaan bagi tahap pertama ini hanya akan melibatkan proses-proses dokumentasi bagi setiap pasukan Liga-M.

Bagaimanapun katanya, tahap kedua iaitu proses pemisahan daripada persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC) akan dilaksanakan sebaik selepas berakhirnya saingan musim Liga-M 2020.

"Sebenarnya ada beberapa model penswastaan telah digunakan dalam proses ini dan antara yang perlu diteliti adalah pemisahan dari segi pengurusan daripada FA kepada FC. Ada beberapa pasukan yang pemilikannya bukan 100 peratus kerana adanya penglibatan FA dalam sesebuah FC.

Artikel Berkaitan:

"Pada tahap pertama ini kita mahu lihat penstrukturan yang memisahkan FA ke FC kerana ia turut melibatkan proses pengurusan; bukannya proses dokumentasi semata-mata," katanya.