Kerajaan yakin bawa pulang 45 jemaah tabligh terkandas di India

Kamarudin Jaffar
Kamarudin Jaffar
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar masih dalam proses untuk membantu baki 45 jemaah tabligh rakyat Malaysia yang terkandas di India setelah ditahan atas kesalahan menyalah guna visa pelawat, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar.

"Kita telah berjaya melalui proses kehakiman di India dengan 144 jemaah tabligh dibebaskan dan berjaya dibawa pulang dan yang masih tinggal adalah seramai 45 orang di empat ke lima buah negeri di India yang kini melalui proses mahkamah yang berbeza," katanya.

Kamarudin berkata, kerajaan yakin dapat menyelesaikan masalah melibatkan rakyat Malaysia itu, cuma ia tertakluk kepada proses kehakiman dan sistem mahkamah yang sedikit berbeza di setiap negeri di India.

"Bagaimanapun dalam masa terdekat kita yakin dapat selesaikan isu ini," katanya pada media di sini hari ini, selepas membacakan teks ucapan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien pada majlis menandatangani Surat Cara Ratifikasi Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear di Wisma Putra hari ini.

Mengenai status kesihatan Hishammuddin yang sedang menjalani kuarantin selama 14 hari selepas pulang dari Sabah, Kamarudin berkata, kedua-dua ujian pengesanan Covid-19 yang dijalani adalah negatif.

“Beliau telah menjalani dua kali ujian pengesanan Covid-19 dan kedua-duanya negatif namun perlu mematuhi kuarantin 14 hari, " katanya.- Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 6,749 rakyat Malaysia terkandas dibawa pulang

Artikel Berkaitan: