Madius tekad beri khidmat terbaik

Wilfred Madius Tangau
Wilfred Madius Tangau
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau bertekad akan terus menumpukan perhatian untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat khususnya di kawasan Parlimen Tuaran.

Beliau berkata, pihaknya mahu agar rakyat di negeri ini mengekalkan perpaduan yang sedia terjalin antara masyarakat setempat.

"Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah pun berakhir, saya menghormati dan menerima keputusan PRN dengan baik. Saya mohon agar kita teruskan perjuangan dan perpaduan. Tentunya ada hikmah di sebalik setiap kejadian yang berlaku.

"Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah bermuhasabah dan memperbaiki segala kelemahan serta terus memberikan yang terbaik untuk rakyat," katanya di sini hari ini.

Madius berkata, beliau akan terus memberi komitmen dalam menjalankan tugas dan kewajipan sebagai Ahli Parlimen Tuaran.

"Saya akan tetap meneruskan perjuangan dalam mempertahankan hak-hak orang Sabah. Saya berjanji akan menjadi pembangkang yang baik untuk rakyat bagi menyuarakan setiap permasalahan yang dihadapi," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Madius turut menzahirkan penghargaan kepada pucuk pimpinan, jentera Pilihan Raya Negeri dan individu yang telah memberikan kepercayaan yang tinggi kepada beliau.

"Saya dengan penuh rendah hati ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pucuk pimpinan parti-parti gabungan Warisan Plus dan semua yang telah bekerja keras dalam membantu saya sepanjang pilihan raya negeri diadakan.

Artikel Berkaitan:

"Sesungguhnya setiap individu dan ahli jentera telah melakukan yang terbaik namun kemenangan tidak menyebelahi kita. Segala pengorbanan dan komitmen anda saya hargai," katanya.

Madius turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Kiulu yang telah turun memberikan sokongan undi kepada beliau.