Pulau Pinang ambil semula Empangan Mengkuang

Kerajaan Pulau Pinang dilaporkan bersetuju untuk menerima semula projek Empangan Mengkuang yang akan diserahkan pada 26 Oktober ini.
Kerajaan Pulau Pinang dilaporkan bersetuju untuk menerima semula projek Empangan Mengkuang yang akan diserahkan pada 26 Oktober ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang bersetuju untuk mengambil semula Empangan Mengkuang yang diperbesarkan daripada kerajaan Persekutuan tidak lama lagi.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, persetujuan tersebut dicapai selepas pertemuannya dengan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Putrajaya minggu lalu.

Menurut Kon Yeow, setakat ini kerajaan negeri akan menerima penyerahan Fasa 1 dan Fasa 2A Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP).

“Pertemuan tersebut sangat produktif dan kami menantikan pelaksanaan Fasa 2B dan 2C MDEP pada masa sesuai serta pembinaan baraj baharu di Rantau Panjang di Seberang Perai Utara.

“Kami dimaklumkan oleh menteri yang pengambilan tanah berada pada peringkat akhir untuk pelaksanaan Fasa 2B, manakala kajian mengenai Fasa 2C dan pembinaan baraj baharu di Rantau Panjang akan dibincangkan dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri untuk dilaksanakan," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Kon Yeow berkata, oleh kerana KASA menyatakan niat untuk menyelesaikan Fasa 2B dan 2C MDEP, kerajaan negeri juga bersetuju untuk menerima semula projek berkenaan yang akan diserahkan dalam upacara rasmi pada 26 Oktober ini di pekarangan Empangan Mengkuang di sini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP dan PBA Holdings Bhd, Datuk Ir Jaseni Maidinsa mengkategorikan MDEP sebagai projek strategik kemarau yang kritikal bagi Pulau Pinang.

Beliau berkata, pelaksanaan tersebut merupakan satu daripada syarat utama yang dipersetujui ketika Pulau Pinang berhijrah ke Inisiatif Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Nasional (NWSRI) pada tahun 2011.

Artikel Berkaitan:

“Hari ini, MDEP belum berfungsi sepenuhnya. Namun, wajar untuk kita mengambil alih pengurusan Empangan Mengkuang.

"Oleh kerana hujan yang sangat rendah kesan perubahan iklim sejak 2019, kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang di Pulau Pulau Pinang adalah luar biasa rendah.

“Kita memerlukan akses penuh kepada rizab air mentah di Empangan Mengkuang untuk menguruskan perkhidmatan bekalan air berterusan pada musim kemarau berikutnya, yang dijangka bermula pada Januari 2021," katanya.