Melaka usaha rancak industri pelancongan

Sulaiman menampal pelekat pada tingkap LRT sambil diperhatikan Jailani (kiri) ketika pelancaran Promosi Pelancongan Negeri Melaka Menerusi LRT Wrapping kelmarin. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Sulaiman menampal pelekat pada tingkap LRT sambil diperhatikan Jailani (kiri) ketika pelancaran Promosi Pelancongan Negeri Melaka Menerusi LRT Wrapping kelmarin. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun negara masih terkesan dengan pandemik koronavirus (Covid-19), ia tidak sedikit pun melemahkan semangat pemain industri terutama dalam sektor pelancongan untuk bangkit semula dengan strategi baharu bagi menyemarakkan kembali industri tersebut.

Enggan menoleh ke belakang, kerajaan Melaka mengorak langkah dengan mengambil inisiatif untuk terus mempromosikan pelancongan negeri itu terutama kepada pelancong domestik melalui iklan LRT Wrapping.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, program LRT Wrapping itu dijalankan pihaknya menerusi Tourism Melaka yang bekerjasama dengan Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan promosi itu akan berlangsung selama enam bulan bermula 15 Ogos lalu sehingga 15 Februari 2021.

Beliau berkata, promosi tersebut dibuat pada bahagian dalam dan luar badan LRT yang mempunyai enam gerabak bagi laluan Seri Petaling Line/Ampang Line yang merentasi 30 hentian bermula dari Stesen Putra Heights sehingga ke Stesen Sentul Timur.

Sulaiman bergambar bersama tetamu kehormat yang hadir pada Program Promosi Pelancongan Negeri Melaka di Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur kelmarin. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Sulaiman bergambar bersama tetamu kehormat yang hadir pada Program Promosi Pelancongan Negeri Melaka di Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur kelmarin. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR

“Saya yakin melalui kerjasama ini akan dapat menarik lebih ramai lagi pelancong domestik untuk berkunjung ke Melaka.

“Pelbagai pakej dan tawaran menarik juga kita adakan menerusi agensi serta produk-produk pelancongan yang ada di Melaka,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Promosi Pelancongan Negeri Melaka di Stesen LRT Masjid Jamek di sini kelmarin.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Muhammad Nizam Alias; Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof dan Exco Pelancongan, Kebudayaan & Warisan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, disebabkan pandemik Covid-19 juga, kerajaan Melaka menetapkan semula sasaran baharu jumlah pelancong yang dijangka hadir ke Melaka pada tahun ini daripada 20 juta kepada 5.6 juta pelancong domestik sahaja.

“Saya boleh katakan kini terdapat peningkatan dalam jumlah kehadiran pelancong ke Melaka walaupun belum 100 peratus pulih akibat Covid-19,” katanya.

Inisiatif

Sulaiman berkata, kerajaan Melaka turut mengambil inisiatif memastikan semua penggiat industri pelancongan di negeri itu bersiap sedia untuk memulakan operasi atau perkhidmatan masing-masing dengan mengamalkan kebiasaan baharu kehidupan dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, pelancong tidak perlu risau kerana Melaka bersedia memberikan perkhidmatan pelancongan yang terbaik dan selamat mengikut SOP ditetapkan.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata, pihaknya juga melancarkan kempen Dream Now Travel Later (DNTL) bermula 1 Jun lalu sehingga 31 Disember ini dan turut memperkenalkan aplikasi Melaka eXcess, satu platform dalam talian yang menjual pelbagai pakej pelancongan dan penginapan yang terdapat di Melaka.

Sulaiman menyerahkan gambar wau kepada Muhammad Nizam (kiri) pada Program Promosi Pelancongan Negeri Melaka Menerusi LRT Wrapping di Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur kelmarin. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Sulaiman menyerahkan gambar wau kepada Muhammad Nizam (kiri) pada Program Promosi Pelancongan Negeri Melaka Menerusi LRT Wrapping di Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur kelmarin. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR

“Pakej-pakej yang ditawarkan bermula daripada 10 peratus hingga 50 peratus dan promosi itu sah sehingga 31 Disember 2020.

“Saya menyeru semua dapat memuat turun aplikasi ini di Google Play Store atau Apple Apps Store dan setiap pengguna akan menerima kredit RM10 sebagai ganjaran.

“Selain itu, pelancong yang bertuah juga berpeluang memenangi sebuah Perodua Alza dan banyak lagi hadiah menarik berjumlah RM5 juta yang ditawarkan sepanjang kempen tersebut,” katanya.

Katanya, beliau percaya dengan adanya kempen itu, kerjasama yang dilaksanakan bersama Prasarana akan dapat diteruskan sehingga 31 Disember 2021.

Kerjasama

Sementara itu, Muhammad Nizam dalam ucapannya menyifatkan langkah yang diambil Kerajaan Negeri Melaka untuk bekerjasama dengan Prasarana bagi mempromosikan pelancongan negeri itu menerusi LRT Wrap sebagai satu langkah kreatif.

Beliau berkata, pengiklanan sebegitu dengan menggunakan aset-aset Prasarana juga adalah langkah bijaksana terutamanya pada waktu sekarang ketika pelancong asing tidak dibenarkan masuk ke dalam negara bagi mengelakkan risiko penularan Covid-19.

“Sebelum Covid-19 melanda dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan, perkhidmatan Rapid Rail meliputi LRT, Monorail mengendalikan secara purata antara 750,000 ke 800,000 orang penumpang setiap hari.

“Bagaimanapun, angka itu menurun akibat PKP tetapi setelah langkah pencegahan diambil oleh kerajaan dan Prasarana, jumlah pengguna kami semakin pulih dari hari ke hari dan kini mencapai 600,000 pelanggan setiap hari,” katanya.

Beliau berharap inisiatif yang diambil Kerajaan Melaka itu akan diikuti oleh kerajaan negeri lain atau syarikat-syarikat korporat untuk menggunakan aset-aset Prasarana dan Rapid KL bagi tujuan pengiklanan.

Selain itu katanya, pihaknya turut menawarkan pakej hak penjenamaan kepada syarikat korporat atau organisasi untuk meletakkan nama dan jenama mereka dengan nama stesen.

“Antara stesen LRT yang diberi hak penjenamaan adalah Stesen LRT Bank Rakyat Bangsar, Stesen LRT KL Gateway Universiti dan Stesen Monorail Air Asia Bukit Bintang,” katanya.