Respons bawah 10 minit, bomba Sabah perlu 40 balai

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Kamarulzaman Malik Abdullah berkata negeri ini memerlukan kira-kira 40 lagi balai bomba baharu bagi meningkatkan tempoh bertindak (response time) sehinggga bawah 10 minit.

Beliau berkata mengikut kajian yang dilaksanakan jabatan berkenaan dengan menggunakan peta pintar (smart maps), jumlah 23 balai bomba sedia ada di Sabah tidak mencukupi kerana keluasan negeri ini menyebabkan bomba mengambil masa lama untuk sampai ke lokasi kejadian sekiranya berlaku kecemasan.

"Bagaimanapun untuk membina balai bomba baharu memerlukan kos yang tinggi dan projek pembinaannya bergantung kepada peruntukan kerajaan.

"Oleh itu kita perlu mencari beberapa inisiatif lain untuk meningkatkan 'response time' berkenaan seperti menambah bilangan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Pasukan Bomba Komuniti (PBK)," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Tahunan JBPM Sabah, di sini hari ini.

Kamarulzaman berkata JBPM Sabah kini merekodkan tempoh bertindak 17.5 minit berbanding 10 minit dan ke bawah yang dicatatkan di Kuala Lumpur.

"Namun kita boleh sentiasa memperbaiki 'response time' ini kerana setiap tahun kerajaan akan memberikan peruntukan untuk membina atau menaik taraf balai bomba di negeri ini dan untuk tahun ini dua balai bomba baharu iaitu di Pitas dan Sook akan beroperasi...sudah tentunya ia akan meningkatkan lagi 'response time' kita.

"Selain itu kita akan menambah pasukan PBS dan PBK di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi seperti di kawasan perumahan atas air yang seringkali berlaku kebakaran," katanya.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 30 pasukan PBS dan 180 PBK diwujudkan di seluruh Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Kita sedang giat untuk menambah PBS dan PBK terutamanya di kawasan yang jauh dari balai bomba kerana kita mahu pasukan berkenaan dapat menjalankan operasi awal sebelum kehadiran anggota bomba.

"Ketibaan PKS dan PBK ke lokasi kejadian juga akan dikira sebagai 'response time' JBPM Sabah dan ia salah satu inisiatif kita untuk meningkatkan lagi 'response time'," katanya. - Bernama