GRS boleh bentuk kerajaan, bertanding guna simbol berdaftar

Saifuddin (kanan) bertemu penduduk di Kampung Beserah pada program mengacau Bubur Asyura di Masjid Jamek Beserah, hari ini.
Saifuddin (kanan) bertemu penduduk di Kampung Beserah pada program mengacau Bubur Asyura di Masjid Jamek Beserah, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) boleh membentuk kerajaan walaupun masih belum diiktiraf oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai gabungan berdaftar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara sama pernah dilalui semasa Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14) lalu dan kemenangan GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam, tidak menjadi isu.

Menurutnya, ketika di bawah PH, semua calon yang bertanding menggunakan simbol parti berdaftar iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan GRS pula menggunakan simbol parti masing-masing.

'Saya lihat situasi ini sama seperti zaman PH dan pada masa tersebut PH adalah nama gabungan dan mereka belum didaftarkan tetapi semua calon mereka (PH) yang bertanding menggunakan simbol parti berdaftar iaitu PKR.

"Jadi, tiada beza antara kedudukan GRS dan PH. Malah, calon bertanding bagi PH juga menggunakan simbol PKR dan pada PRN Sabah calon GRS juga menggunakan simbol parti berdaftar. Ini adalah strategi dalam pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program mengacau Bubur Asyura di Masjid Jamek Beserah, hari ini.

Hari ini, penganalisis politik Asia Tenggara, Bridget Welsh mendakwa GRS tidak boleh membentuk kerajaan meskipun mendapat majoriti mudah dengan mendapat 38 kerusi kerana gabungan itu belum diiktiraf SPR sebagai gabungan yang berdaftar.

SPR mengesahkan GRS memperoleh kelebihan satu kerusi daripada majoriti mudah 37 kerusi di Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 73 kerusi, manakala Warisan Plus mendapat 29 kerusi, PKR (dua kerusi) dan UPKO (satu kerusi) serta Bebas (tiga kerusi).

Mengulas lanjut mengenai pelantikan Ketua Menteri, Saifuddin berkata, GRS mampu menyelesaikan isu pelantikan itu dalam kalangan mereka.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, rundingan sedang berlangsung bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menang dalam menentukan siapa boleh menerajui kepimpinan negeri.

"Ketua Menteri yang dilantik daripada kalangan ADUN perlu mendapat sokongan majoriti dan terserah kepada mereka untuk memilih, namun lazimnya akan ada rundingan. Kalau semasa PH dahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat sebagai Perdana Menteri walaupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan parti terbesar (yang menang).

"Saya yakin mereka (GRS) dapat menyelesaikan soal pelantikan ketua menteri dengan kebijaksanaan mereka sesama sendiri sebagai rakyat Sabah," katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kemenangan tersebut menunjukkan sokongan rakyat Sabah kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, rakyat sudah pasti mahu sebuah kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan Persekutuan, bagi meneruskan dan memudahkan aspek pembangunan di sana.

"Bila kerajaan negeri sehaluan, banyak perkara dapat dipermudahkan sebagai contoh, dari segi pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

"Isu ini menjadi masalah ialah kebenaran untuk membina menara telekomunikasi dan sebagainya kerana itu terletak di bawah kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), jadi bila kerajaan sehaluan ia dapat dipermudahkan," katanya.