X

Kindly register in order to view this article
!

PJ City sekat hajat JDT

Tonggak tengah JDT, Natxo Insa (kiri) dicabar pemain PJ City FC pada aksi CIMB Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya sebentar tadi. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
A
A

Johor Darul Ta'zim (JDT) belum boleh berpesta awal untuk menjulang trofi Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut selepas terikat seri 2-2 dengan PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya sebentar tadi.

Atas kertas, sebelum turun ke gelanggang lawan itu, JDT perlu meraih tiga mata penuh sambil mengharapkan pencabar terdekatnya, Kedah tumbang kepada Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam esok bagi mengesahkan kejuaraan.

Begitupun, keputusan seri itu menyaksikan skuad Harimau Selatan perlu menunggu buat seketika sebelum sah ditabalkan selaku juara CIMB Liga Super musim ini.

Pada aksi sebentar tadi, penyerang JDT, Safawi Rasid sekali lagi membuktikan sentuhan penyudahnya cukup berbisa apabila merobek gawang PJ City FC pada minit ke-35 selepas berjaya melepasi perangkap ofsaid.

PJ City FC tidak menunggu lama untuk menggegar gawang JDT yang dikemudi Farizal Marlias apabila Christie Jayaseelan berjaya menyamakan kedudukan berselang dua minit kemudian.

Jaringan itu ternyata membakar semangat PJ City FC untuk terus memburu gol, hasilnya mereka memperoleh sepakan penalti selepas Farizal menjatuhkan penyerang import, Washington Brandao Dos Santos.

Kapten, K Gurusamy yang diberi tanggungjawab menyempurnakan sepakan penalti itu tidak berdepan masalah untuk menjaringkan gol kedua PJ City FC pada minit ke-46.

Sebelum babak pertama berakhir, JDT pula dihadiahkan sepakan penalti selepas Safawi dijatuhkan pertahanan PJ City FC, Filemon Anyie Standly.

Pemain sayap lincah Harimau Selatan, Gonzalo Cabrera tenang menyempurnakan sepakan penalti itu untuk menjadikan kedudukan 2-2 sebaik babak pertama berakhir.

Aksi babak kedua memperlihatkan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagi menambah jaringan. Bagaimanapun, tiada jaringan terhasil sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasaruddin.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!