Peluang Aliff bawa pulang tali pinggang ONE Championship

JAGUH Muay Thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib tidak terpedaya dengan faktor usia Sam-A Gaiyanghadao menjelang pertarungan merebut gelaran Juara Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE pada The Inner Circle 23 di Stadium Lumpinee, Bangkok, malam ini (8 malam ke atas waktu Malaysia).
Petarung berusia 22 tahun itu mengakui pengalaman luas legenda Thailand berkenaan menjadi cabaran utama yang perlu diberi perhatian, sambil menegaskan beliau tidak akan melakukan kesilapan dengan memandang rendah kemampuan lawannya.
Katanya, rekod dan kemampuan Sam-A membuktikan petarung berusia 42 tahun itu masih mampu bersaing pada tahap tertinggi meskipun berdepan lawan lebih muda.
"Ramai melihat pertarungan ini sebagai pertembungan antara petarung muda dan berpengalaman tetapi saya tidak akan sesekali memandang rendah Sam-A.
"Jika dia tidak mempunyai kemampuan luar biasa, dia tidak mungkin masih bersaing pada tahap ini," katanya.
Aliff atau turut dikenali sebagai Aliff Sor Dechapan hadir dengan rekod lima kemenangan berturut-turut dalam ONE Championship, termasuk kemenangan ke atas Ramadan Ondash yang membolehkannya meraih peluang mencabar gelaran dunia.
Berhadapan bekas juara dunia dua kategori ONE Championship itu, Aliff percaya kekuatan fizikal serta gaya agresifnya mampu memberi masalah kepada Sam-A, namun tetap perlu beraksi dengan perancangan rapi.
"Saya tahu kekuatan utama Sam-A ialah tendangan kirinya dan kebolehannya mengubah strategi ketika pertarungan berlangsung.
"Saya perlu menggunakan kelebihan yang ada dan memilih masa yang tepat untuk menyerang," ujarnya.
Pertarungan itu menjadi peluang besar buat Aliff mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama muncul juara dunia ONE Championship sekiranya berjaya menewaskan legenda Thailand tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
