Komunis baling bom dalam kem Polis Hutan

Yusof menunjukkan pingat yang diterimanya. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Yusof menunjukkan pingat yang diterimanya. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

TRAGEDI berdarah di Markas Briged Tengah Pasukan Polis Hutan (PPH) di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur pada 3 September 1975, memberi kesan emosi yang sangat mendalam kepada Sub Inspektor (B) Yusof Hasan, 70.

Tahun ini, genap 45 tahun peristiwa yang menyebabkan dua rakan sejawatan yang dianggap seperti adik kandung sendiri iaitu Allahyarham Konstabel Yusof Abdul Rahman dan Konstabel Abdul Hamid Mahmud yang ketika itu berusia awal 20-an, gugur dalam serangan tersebut.

Menceritakan kisah di sebalik serangan yang berlaku pada awal pagi itu, Yusof berkata, ketika kejadian beliau baru selesai operasi dan diberi taklimat.

“Ketika itu jam 8.30 pagi pasukan saya baru selesai operasi dan diberi taklimat sebelum setiap anggota perlu memulangkan senjata dan peralatan hutan yang dibawa. “Tiba-tiba bunyi letupan kuat berlaku menyebabkan semua anggota yang sedang berehat bertempiaran lari mencari tempat berlindung bagi mengelak daripada terkena serpihan letupan,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini. Menurutnya, pada awalnya, beliau menyangkakan tong gas yang meletup, namun sebaliknya mereka diserang hendap oleh pihak komunis.

“Tragedi itu telah mengorbankan dua anggota, 52 anggota cedera dengan 18 daripadanya parah.


Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan menziarahi anggota yang cedera dalam tragedi berdarah itu.
Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan menziarahi anggota yang cedera dalam tragedi berdarah itu.

“Sebanyak empat butir bom tangan dilemparkan oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal dari luar pagar ke dalam kawasan lapang di mana sesi taklimat itu diadakan.

“Dua daripada empat butir bom tangan itu meletup menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Yusof berkata, bantuan segera diberikan kepada mangsa yang cedera dalam serangan itu.

“Segala kemudahan dan kenderaan yang ada digunakan untuk membantu mangsa yang cedera serta menghantar mereka ke Hospital Kuala Lumpur.

“Seramai 40 doktor dan 50 jururawat turut dikerah untuk memberi rawatan kepada anggota polis yang cedera parah itu,” cerita beliau.

Menurutnya, dua individu yang bertanggungjawab dalam kejadian itu dapat dikesan sejurus letupan bom tersebut.


Allahyarham Yusof (berdiri dua dari kiri) terkorban dalam peristiwa itu.
Allahyarham Yusof (berdiri dua dari kiri) terkorban dalam peristiwa itu.

“Anggota pasukan telah mengejar dan menangkap salah seorang suspek, manakala seorang lagi sempat melarikan diri ke Kampung Siam (terletak berhampiran Jalan Pekeliling ketika itu).

“Namun, penyerang yang melarikan diri itu akhirnya berjaya diberkas selepas Ops Kesan dilancarkan oleh Pasukan Polis Hutan (PPH) secara besar-besaran di kampung itu.

“Peristiwa hitam yang menyayat hati ini banyak meninggalkan kesan yang mendalam kepada keluarga besar Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama PPH (Pasukan Polis Hutan),” katanya.

Menceritakan mengenai arwah Konstabel Yusof, katanya, beliau mengenali rakan baiknya itu sejak sekolah menengah di Bagan Serai, Perak.


Bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein melawat mangsa yang cedera di Hospital Kuala Lumpur.
Bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein melawat mangsa yang cedera di Hospital Kuala Lumpur.

Sub Inspektor (B) Yusof Hasan

Tarikh lahir: 25 November 1950

Isteri: Rosni Rubin berusia 66 tahun.

Anak empat orang berusia 37 hingga 48, cucu 17 orang.

Mula berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia pada 8 Jun 1969.

Yusof turut menjadi Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Kuala Lumpur dari 1997 hingga 2009.

Keadaan tugu negara selepas diletupkan oleh pengganas komunis. Foto sumber internet
Keadaan tugu negara selepas diletupkan oleh pengganas komunis. Foto sumber internet