Pengundi, petugas parti diingat amal SOP

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob -Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob -Foto Bernama
A
A
A

SANDAKAN - Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah untuk mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19 pada hari pengundian esok.

Beliau turut menasihatkan pengundi untuk keluar mengundi pada masa yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi setiap pengundi.

"Jangan lupa bawa pelitup muka masing-masing, jaga penjarakkan fizikal dan guna pensanitasi tangan serta memeriksa suhu," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia Zon Sandakan, di sini hari ini.

Beliau turut menasihatkan petugas parti yang bertanding supaya tidak mengabaikan SOP yang ditetapkan.

Beliau juga menggalakkan sesiapa yang pulang dari sesuatu tempat, termasuk dari Sabah, untuk membuat ujian saringan Covid-19 sebagai langkah keselamatan.

Hari ini Sabah mencatatkan jumlah kes baharu Covid-19 tertinggi dengan 74 kes, menjadikan jumlah kes keseluruhan direkodkan di negeri itu sebanyak 1,397 kes.

Pada majlis itu, seramai 85 veteran ATM menerima pingat itu atas khidmat mereka menentang Parti Komunis Malaya (PKM) antara 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 atau menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) antara 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990. - Bernama

Artikel Berkaitan: