X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada siapa hubungi saya tentang sokong Anwar: Noh Omar

Noh (kiri) ketika menziarahi rumah penduduk yang terkesan akibat ribut kelmarin di Kampung Limau Manis hari ini.
A
A

SEPANG - Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar memaklumkan, tiada mana-mana pihak menghubungi beliau mengenai isu sokongan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan baharu.

Noh berkata, pengumuman Anwar itu, membuatkan beliau tertanya-tanya mengenai bilangan ahli Parlimen yang menyatakan sokongan seperti didakwa tersebut.

"Saya sebagai Ahli Parlimen BN dan UMNO belum pernah dihubungi atau dimaklumkan tentang sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

"Saya bercakap sebagai Ahli Parlimen, bila dia kata ahli Parlimen beri cukup sokongan, saya tertanya-tanya juga, ahli Parlimen dari mana.

"Sehingga hari ini, saya terkejut jika kata ada ahli Parlimen UMNO beri sokongan kepada Anwar Ibrahim sebab saya secara peribadi tidak pernah dihubungi, tidak pernah dimaklumkan dan saya pun tertanya tanya siapakah mereka itu (ahli Parlimen didakwa beri sokongan)," kata beliau sebagai respons terhadap dakwaan Anwar bahawa beliau kini mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu.

Noh sebelum itu mengadakan lawatan di kawasan yang dilanda ribut di sekitar kawasan Sepang, hari ini.

Dalam pada itu, Noh turut mengulas mengenai penularan sebuah portal mengenai dirinya dikatakan antara 19 Ahli Parlimen UMNO yang menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri ke-sembilan.

"Saya menafikan perkara tersebut. Saya tidak tahu menahu dan tidak pernah dihubungi. Memang perkara itu langsung tidak benar sama sekali," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu

UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimen mahu sokong Anwar

Tambah Noh, setakat ini beliau sebagai Ahli Parlimen bersama dengan Perikatan Nasional.

"Saya terkejut bila Anwar kata, dia dah cukup angka. Angka ni (jumlah sokongan) datang dari mana?" ujar Noh.

Menurutnya, namun apa yang berlaku bukan kali pertama dilakukan oleh Presiden PKR itu.

"Bagi saya, ini bukan kali pertama beliau umumkan perkara yang luar dugaan. Dulu pernah sekitar 2008 tak silap saya yang dipanggil peristiwa September. Apa yang dilakukan oleh Anwar adalah gimik semata-mata.

"Mungkin gimik sebabkan Pilihan Raya Negeri Sabah, walaupun Warisan kata Sabah for Sabahan tapi Warisan ni dia kerjasama juga dengan DAP, Amanah, PKR, jadi mungkin sebab tu dia nak tarik perhatian," kata beliau lagi.

Semalam, Anwar mendakwa bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menegaskan, bahawa majoriti yang diperoleh adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!