X

Kindly register in order to view this article
!

Poster angkat sumpah PM ke-9 palsu: AMK

Poster mengenai Upacara Mengangkat Sumpah Perdana Menteri ke-9 yang menggunakan logo dengan tulisan AMK tersebar ketika ini.
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menafikan penyebaran poster palsu mengenai Upacara Mengangkat Sumpah Perdana Menteri kesembilan yang menggunakan logo dengan tulisan AMK seperti mana yang tersebar ketika ini.

Setiausahanya, Ahmad Syukri Razab berkata, bukan sahaja poster tersebut palsu malah logo yang digunakan bukan logo rasmi AMK Malaysia.

"AMK menyeru agar semua pihak tidak menyebarkan poster berkenaan yang mungkin dihasilkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab bagi mengganggu proses transisi kerajaan Persekutuan yang sedang berjalan.

"AMK menjunjung penuh kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong dalam memutuskan isu pemilihan Perdana Menteri selepas YB Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan berjaya memperoleh majoriti selesa bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang akhbar tergempar semalam memberitahu beliau kini mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu.

Selain itu, Ahli Parlimen Port Dickson tersebut turut menegaskan bahawa majoriti yang diperoleh adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis.

Susulan itu juga, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan menegaskan parti itu dan Barisan Nasional (BN) tidak dapat menghalang ahli-ahli Parlimen parti untuk mengambil keputusan menyokong Anwar yang berhasrat menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, ini kerana UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!