X

Kindly register in order to view this article
!

Lubnan berdepan saman daripada rakyat sendiri

Dua letupan besar yang berlaku pada 4 Ogos lalu di pelabuhan Beirut mengorbankan seramai 190 orang dan 6,500 orang lagi yang berpunca daripada simpanan ammonium nitrat. - Foto AFP
A
A

ELIE Hasrouty yang kehilangan bapanya pada 4 Ogos lalu dalam letupan di pelabuhan Beirut adalah antara 1,228 penduduk Lubnan yang bersedia untuk mengemukakan saman ke atas kerajaan negara itu.

Jurutera muda komputer itu berkata, bapanya itu tidak akan hidup semula walaupun dia mengemukakan saman tentang kejadian tersebut di mahkamah.

Namun, katanya, ia boleh membantu menghalang kejadian letupan besar yang sama berulang lagi pada masa depan.

"Kami sedang mengemukakan tuntutan undang-undang untuk kami, orang ramai yang kekal di negara ini dan yang mahu hidup dengan penuh bermaruah," katanya kepada AFP.

Bapa Hasrouty, Ghassan merupakan antara 190 orang yang terbunuh dalam dua letupan yang menurut pihak berkuasa berpunca daripada sejumlah besar simpanan ammonium nirat.

Sebelum ini, Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab yang kini telah meletakkan jawatan berkata, sebanyak 2,750 metrik tan ammonium nirat disimpan bertahun-tahun di pelabuhan Beirut sebelum ia meletup.

Letupan terbesar dalam sejarah

Letupan itu yang merupakan salah satu letupan terbesar dalam sejarah bagi kategori bukan nuklear turut mencederakan 6,500 orang lain sekali gus memusnahkan sebahagian kawasan di Beirut.

Kebanyakan tugas Ghasaan ialah bekerja di dalam sebuah bilik kawalan berdekatan dengan tempat kejadian letupan tersebut.

Dia tertanam di celah-celah runtuhan, gandum dan jagung sehingga menyebabkan pasukan penyelamat yang bergegas ke tempat kejadian dalam letupan tersebut tidak pernah berpeluang untuk menariknya keluar hidup-hidup.

Mayatnya ditemui dua minggu selepas letupan tersebut berlaku.

Bagaimanapun, anak lelakinya itu menyatakan tindakan undang-undang tersebut bukannya sebagai satu perbuatan bagi membalas dendam terhadap pihak berkuasa yang didakwa melakukan kecuaian dan rasuah sehingga menyebabkan dua letupan terbabit terjadi.

Gambar fail menunjukkan para penunjuk perasaan berhimpun dan mendakwa tidak ada perkembangan terbaharu dalam siasatan kes kejadian letupan besar di pelabuhan Beirut. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan para penunjuk perasaan berhimpun dan mendakwa tidak ada perkembangan terbaharu dalam siasatan kes kejadian letupan besar di pelabuhan Beirut. - Foto AFP

Sebaliknya, katanya, tuntutan undang-undang tersebut bertujuan untuk membuktikan keadaan yang menyebabkan bencana besar itu boleh berlaku.

"Kami perlu menentukan siapa yang bertanggugjawab termasuk semua pelaku yang mengakibatkan situasi itu. Justeru, ia akan dilakukan mengikut langkah-langkah yang sesuai dan diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang lagi pada masa depan," katanya.

"Apakah gunanya menghukum sesiapa yang didapati bersalah jika pengendalian (para pegawai melakukan tugas) tidak akan berubah? ujarnya.

Keluarga Hasrouty merupakan salah seorang daripada 1,228 keluarga yang menggunakan khidmat Persatuan Peguam Beirut untuk memfailkan aduan yang mereka harap akan menjadi tuntutan undang-undang terhadap negara mereka sendiri.

Persatuan Peguam Beirut kini menawarkan perkhidmatan tanpa bayaran sebagai sebahagian daripada tanggungjawab yang ia lancarkan selepas letupan tersebut berlaku dengan memberikan tugas kepada setiap peguam bagi setiap kes yang dikendalikannya itu.

"Kami tidak boleh berdiam diri sahaja ketika berdepan dengan jenayah tragik seperti ini," kata ketua persatuan itu, Melham Khalaf kepada AFP.

400 peguam yang bertugas secara sukarela

Dengan 400 peguam yang bertugas secara sukarela dan 200 pembantu peguam, persatuan tersebut telah mendirikan tujuh pusat pusat sementara di daerah yang terjejas akibat letupan itu, kata Khalaf.

Ia juga dibantu lebih 450 penilai hartanah yang membantu menilai kos kerosakan yang dialami oleh para pengadu.

Sambil merenung sebuah komputer persatuan itu di Beirut, seorang peguam, Ali Jaber mendedahkan lebih lanjut tentang kes tersebut.

Sehingga kini, lebih 82 peratus daripada semua kes yang dibawa ke Persatuan Peguam Beirut melibatkan penduduk yang mengadu tentang kehilangan harta benda ekoran letupan tersebut, kata Jaber.

Mereka yang mengalami kecederaan termasuk juga kehilangan harta benda mewakili kira-kira tujuh peratus daripada pengadu manakala yang membuat aduan tentang kecederaan hanyalah kira-kira tiga setengah peratus," tambahnya.

Lebih satu peratus lagi hilang seorang saudara akibat letupan berkenaan.

Jaber berkata, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh para pengadu ialah mereka perlu berusaha membuktikan kebertanggungjawaban pihak berkuasa melalui satu keputusan sebelum tuntutan undang-undang kedua untuk memperoleh pampasan daripada negara yang dilanda masalah kewangan ekoran Lubnan bergelut dengan krisis ekonomi terburuk sejak perang saudara meletus pada tahun 1975 hingga 1990 dilakukan.

Sejarah panjang tentang pihak yang terlepas daripada hukuman di Lubnan telah menyebabkan ramai penduduk negara itu sama ada di Lubnan atau di luar negara mendesak supaya satu siasatan antarabangsa dilakukan terhadap kejadian tersebut.

Desakan itu kini mendapat sokongan daripada kumpulan-kumpulan hak asasi manusia dan kuasa Barat.

Tulisan berbahasa Arab diconteng pada dinding yang terletak dekat kawasan yang terjejas akibat letupan besar di pelabuhan Beirut pada Ogos lalu. - Foto AF
Tulisan berbahasa Arab diconteng pada dinding yang terletak dekat kawasan yang terjejas akibat letupan besar di pelabuhan Beirut pada Ogos lalu. - Foto AF

Bagaimanapun, pihak berkuasa Lubnan menolak cadangan itu sebaliknya memilih siasatan tempatan tanpa penglibatan pihak luar menyebabkan sehingga kini 25 orang ditangkap berhubung kejadian tersebut.

Antara yang ditangkap itu ialah ketua pelabuhan Beirut dan pengarah kastamnya tetapi tidak ada seorang pun pegawai kerajaan atau parlimen yang telah ditahan berhubung letupan tersebut.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan pakar-pakar penyelidikan Perancis telah membantu pihak berkuasa Lebanon dalam siasatan tetapi masih belum menemui punca yang mengakibatkan letupan tersebut.

Pertubuhan Amnesty Antarabangsa pada bulan ini menyatakan sebuah mekanisme pencari fakta antarabangsa merupakan satu-satunya cara untuk memberikan jaminan kepada mangsa-mangsa yang masih hidup tentang keadilan dan kebenaran dalam kejadian itu.

Namun, sebaliknya, kerajaan merujuk siasatan itu kepada Majlis Kehakiman, iaitu sebuah mahkamah yang prosidingnya kurang bebas dan tidak saksama, kata Amnesty.

Dengan ahli-ahli politik kerap mempengaruhi hakim berbanding sifat kebertanggungjawaban, Khalaf yang yang kecewa kemudian mendesak golongan elit pemerintah supaya tidak campur tangan dalam bidang kehakiman.

"Satu jenayah besar seperti ini tidak boleh terlibat dalam perbalahan politik," ujarnya.

"Mengetahui kebenaran dan mencapai keadilan akan menenangkan orang ramai dan biarkan mereka hidup dengan aman," tambahnya. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!