PKR saran individu dikuarantin guna undi pos

Dari kiri, Peto Galim, Mustapha Sakmud, Sazalye Donol Abdullah, Christina Liew Chin Jin, Abdul Rahman Yakub, Alijus Sipil dan Raymond Ahuar.
Dari kiri, Peto Galim, Mustapha Sakmud, Sazalye Donol Abdullah, Christina Liew Chin Jin, Abdul Rahman Yakub, Alijus Sipil dan Raymond Ahuar.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) disaran agar membenarkan rakyat yang dikuarantin menggunakan cara undi pos pada hari mengundi.

Cadangan itu dikemukakan barisan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dalam satu kenyataan bersama hari ini.

"Hak mengundi adalah hak untuk semua warganegara Malaysia. Kami ingin menyaran SPR dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan rakyat Sabah yang dikuarantin koronavirus (Covid-19) juga dapat membuang undi pada 26 September.

"Kami kesal kerana 270 pegawai dan anggota polis di Sabah tidak dapat menunaikan tanggungjawab mengundi awal kerana masih dikuarantin.

"Kami ingin mencadangkan kepada SPR supaya membenarkan rakyat yang dikuarantin menggunakan cara undi pos pada hari mengundi," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu ditandatangani bersama tujuh calon PKR terdiri daripada Christina Liew Chin Jin (N20 Api Api); Mustapha Sakmud (N09 Tempasuk); Peto Galim (N18 Inanam); Abdul Rahman Yakub (N32 Klias); Raymond Ahuar (N45 Sook); Alijus Sipil (N14 Tamparuli) dan Sazalye Donol Abdullah (N05 Matunggong).

Dalam pada itu, kenyataan itu juga berkata, rakyat Sabah harus yakin terhadap sikap profesionalisme SPR dan KKM akan dapat memastikan proses mengundi itu dapat dijalani dengan pematuhan SOP yang ditetapkan.

"Kepada rakyat Sabah yang bakal mengundi pada 26 September, kami menyeru mereka agar mematuhi SOP yang telah ditetapkan supaya proses berjalan dengan lancar dan kesihatan awam terjamin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini dilaporkan berkata, seramai 270 pegawai dan anggota polis di Sabah tidak mengundi awal kerana masih dikuarantin.

Kesemua mereka membabitkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang berpangkalan di Lahad Datu dan Kota Kinabalu.

Anggota terbabit perlu dikuarantin selepas terbabit secara langsung dalam penahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dikesan positif Covid-19.