Jabatan Kesihatan Pahang minta maaf atas kekeliruan

Laporan Sinar Harian semalam. Gambar kanan: Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah
Laporan Sinar Harian semalam. Gambar kanan: Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kesihatan Pahang mengesahkan wanita dengan tag merah jambu di tangan yang makan di sebuah restoran di Temerloh tidak terlibat dalam rawatan atau arahan kuarantin bagi jangkitan koronavirus (Covid-19).

Pengarahnya, Datuk Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah berkata, siasatan pihaknya mendapati pesakit itu ada menerima rawatan dan diwadkan di sebuah hospital kerajaan.

"Pemakaian tag merah adalah amalan biasa bagi mana-mana wanita yang dimasukkan ke wad.

"Dalam kes ini, pesakit tidak menanggalkan tag ketika proses discaj dan secara tidak sengaja memakainya ketika singgah makan di restoran berkenaan selepas keluar dari hospital," katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Bahari berkata, kejadian itu menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan orang ramai selepas ia ditularkan.

"JKNP memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku hingga menimbulkan kerisauan masyarakat.

"Pada masa yang sama, pihak kami turut meminta maaf kepada pihak restoran atas peristiwa itu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyanjung tinggi atas keprihatinan dan respons segera masyarakat mengesan kehadiran pesakit memakai tag merah jambu yang berada di tempat awam.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kita menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak menyebarkan sebarang berita tidak benar yang boleh menimbulkan kekeliruan serta panik dalam kalangan masyarakat," katanya.

Semalam, pemilik restoran berkenaan tampil menjelaskan situasi sebenar berhubung status pesakit memakai tag merah jambu yang singgah makan di premisnya itu.

Muhamad Rizal Muhamad Rosely, 42, memberitahu, hasil semakan dengan pihak Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh mendapati wanita berusia 68 tahun itu baru keluar dari hospital berkenaan selepas menerima rawatan penyakit jantung.

Satu laporan polis berhubung perkara itu dibuat di Balai Polis Temerloh, pagi semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan pesakit Covid-19 tetapi jantung

Pihak restoran berharap pengesahan itu dapat memperbetulkan salah faham yang berlaku serta mengembalikan keyakinan pelanggan terhadap restoran mereka.