X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan Terengganu rakam ucapan takziah

A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang meninggal dunia hari ini.

Ucapan berkenaan dizahirkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan di laman sosial Facebook miliknya.

“Allahyarham merupakan Menteri Besar Terengganu paling lama berkhidmat iaitu bermula 1974 hingga 1999. Terima kasih tidak terhingga atas jasa dan khidmat yang diberikan kepada negeri dan rakyat Terengganu selama ini.

“Mewakili kerajaan negeri, saya mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham. Sama-sama kita doakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Allahyarham Wan Mokhtar, 88, menghembuskan nafasnya terakhir pada jam 6.20 pagi tadi di Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur akibat komplikasi jantung.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas MB Terengganu meninggal dunia

Sementara itu, Pengerusi UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang menganggap Allahyarham Wan Mokhtar bagaikan ayah dan gurunya berkata, terlalu banyak jasa pemimpin tersebut yang perlu rakyat Terengganu hargai sepanjang 25 tahun menjadi menteri besar.

Ahmad Said yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, fokus utama Allahyarham Wan Mokhtar sepanjang pentadbirannya ialah kepada bidang pendidikan dan kebajikan rakyat terutama golongan miskin dan masyarakat luar bandar.

"Saya mula mengenal Allahyarham ketika masih bersekolah rendah kerana Allahyarham selalu datang ke rumah ayah dan penduduk kampung lain... menjadi amalannya untuk turun melawat ke semua kampung dan memberi nasihat kepada kanak-kanak mengenai kepentingan ilmu.

"Allahyarham juga mahu memastikan anak kampung yang cemerlang mendapat bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi... Allahyarham tidak mahu ada yang tertinggal pelajaran hanya disebabkan kemiskinan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal berkata, antara jasa Allahyarham ialah menubuhkan Yayasan Islam Terengganu, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dan memperkenalkan hadiah wang tunai untuk pelajar cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah.

"Semasa saya menjadi menteri besar, inisiatif hadiah kecemerlangan itu saya perluaskan pula untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia. Itu antara keistimewaan anak Terengganu, sentiasa mendapat bantuan untuk melanjutkan pelajaran yang masih diteruskan hingga kini... semua idea itu adalah daripada Allahyarham,” katanya.

Ahmad yang kini berada di Tawau, Sabah berkata, UMNO Terengganu akan mengadakan majlis tahlil untuk Allahyarham selepas selesai urusan di Sabah tidak lama lagi.

Sementara itu seorang lagi bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, beliau amat menyanjung nilai-nilai kepimpinan tinggi yang dimiliki Allahyarham.

Katanya Allahyarham yang dikenali ialah seorang pemimpin yang sangat sabar dan sentiasa meletakkan nilai-nilai agama dalam rutin kehidupan serta corak pentadbirannya.

"Allahyarham yang saya kenal sangat sabar dan tidak pernah berpisah dengan al-Quran yang dijadikan sebagai panduannya," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!