Awas di 21 ‘blackspot’

Ibrahim (kanan) dan Timbalan Ketua JSPT Shaifulizan Sulaiman (kiri) menunjukkan statistik kemalangan Op Selamat Tahun Baru Cina tahun sebelumnya.
Ibrahim (kanan) dan Timbalan Ketua JSPT Shaifulizan Sulaiman (kiri) menunjukkan statistik kemalangan Op Selamat Tahun Baru Cina tahun sebelumnya.
A
A
A

SEREMBAN – Polis negeri ini akan memberi tumpuan di 21 lokasi kawasan hitam yang kerap berlaku kemalangan sepanjang Op Selamat sempena Tahun Baru Cina yang akan bermula esok.

Antara laluan ialah di Seremban dan Port Dickson ialah Jalan Seremban-Tampin (KM8-KM10); Jalan Seremban - Kuala Pilah (KM10-KM12); Jalan Seremban - Port Dickson (KM9-KM17); Jalan Pantai Port Dickson (KM10-KM30); Jalan Lukut - Sepang (KM9-KM23).

Bagi kawasan Tampin dan Kuala Pilah pula ialah di Jalan Tampin - Seremban (KM2-KM5); Jalan Pasir Besar - Palong (KM2); Jalan Kuala Pilah - Batu Kikir (KM9-KM11) dan Jalan Melang - Kuala Pilah (KM1-KM5).

Selain itu di kawasan Jempol dan Jelabu ialah Jalan Bahau - Keratong (KM10-KM22); Jalan Bahau - Rompin (KM2-KM10): Jalan Kuala Klawang - Simpang Durian (KM1-KM16); Jalan Simpang Pertang - Mancis (KM19-KM20) dan Jalan Kuala Klawang - Genting Peras (KM3-KM4, KM18.5-KM20).

Manakala di Rembau dan Nilai ialah PKN Cengkau Jalan Seremban - Tampin (KM32); Kampung Batu Jalan Seremban - Tampin (KM29); Jalan BBN - Bulatan 1,2,3 - Salak Tinggi (KM5-KM6); Jalan Batang Benar - Pajam - Mantin (KM4) dan Jalan Nilai - Labu - Sendayan (KM8-KM12).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Abdul Kadir berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya kemalangan kerap berlaku antara jam 12 tengah hari hingga 8 malam.

“Antara faktornya ialah kenderaan mula bertambah pada waktu itu dan rekod juga mendapati kes banyak membabitkan jalan bandaran, jalan negeri dan jalan persekutuan.

“Berdasarkan statistik Op Selamat tahun lalu, sebanyak 999 kemalangan direkodkan berbanding 1,109 kes pada 2017. Manakala lapan kes kemalangan maut tahun lalu dan 10 kes tahun sebelumnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, kesesakan dijangka berlaku pada 3 dan 4 Februari ini kerana orang ramai mula pulang ke kampung dan pada 9 dan 10 Februari apabila cuti persekolahan berakhir.

Beliau berkata, polis mengenal pasti 23 laluan yang dijangka sesak dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi Facebook Polis Negeri Sembilan.

“Rancanglah jadual perjalanan anda dan boleh gunakan laluan alternatif disediakan bagi mengelak kesesakan. Paling penting memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.