X

Kindly register in order to view this article
!

Suharnizan tetap saman Eira Aziera

Laporan muka depan Sinar Ahad semalam.
A
A

JOHOR BAHRU - Pesuruhjaya Sumpah, Suharnizan Md Sidek tetap dengan keputusan untuk mengambil tindakan saman sivil terhadap Noorazira Pissal atau lebih dikenali sebagai Eira Aziera, 37, walaupun personaliti media sosial itu sudah memohon maaf kerana menghinanya dalam media sosial.

Peguam Suharnizan, Mohd Rasheed Hassan berkata, tindakan undang-undang diambil bertujuan memberi pengajaran terhadap Eira Aziera kerana isu body shaming boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata, perkara tersebut perlu dijadikan pengajaran terutama kepada semua pihak dalam media sosial bahawa mereka masih terikat dengan undang-undang dan tidak bebas untuk bercakap sesuka hati.

“Perkara ini memberi kesan kepada mangsa (Suharnizan). Memang nampak dia (Eira Aziera) ada buat permohonan maaf melalui Facebook, tapi saya rasa makian yang dibuat pada klien saya adalah selama lebih lapan minit.

“Kalau dia nak minta maaf, kita akan sediakan skripnya termasuk pengakuan tidak akan buat lagi, tidak akan mengatakan benda negatif terhadap klien kami, tuntutan ganti rugi dan sebagainya,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

ARTIKEL BERKAITAN:

Body shaming kesalahan jenayah

Pesuruhjaya Sumpah dihina personaliti media sosial buat laporan polis

Pada 18 Ogos lalu, Suharnizan menulis komen “live masak, live makan-makan, letak produk kurus, boleh kurus ke?” menerusi video secara langsung kira-kira jam 10 pagi sebelum dikongsikan rakannya dalam Facebook personaliti media sosial tersebut.

Eira Aziera kemudian membuat satu rakaman video dan mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat terhadap Suharnizan dan menyamakan bentuk tubuh individu tersebut dengan haiwan termasuk memaparkan gambar dia dan anaknya.

Video yang mengandungi kata-kata penuh hinaan itu kemudian tular.

Bagaimanapun, tindakan personaliti tersebut membuat hinaan itu mendapat kecaman netizen sebelum Eira Aziera tampil sekali lagi dalam sebuah video memohon maaf atas perbuatannya. Dia mendakwa gagal mengawal emosi dan menjaga tutur kata sehingga menyebabkan banyak pihak rasa tersinggung.

Suharnizan dengan ditemani peguamnya kemudian mengambil keputusan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini pada 15 September lalu berhubung kes tersebut.

Suharnizan (tengah) bersama-sama pasukan peguamnya di hadapan IPD Johor Bahru Selatan, Larkin selepas membuat laporan polis mendakwa dihina seorang personaliti media sosial.
Suharnizan (tengah) bersama-sama pasukan peguamnya di hadapan IPD Johor Bahru Selatan, Larkin selepas membuat laporan polis mendakwa dihina seorang personaliti media sosial.

Menurut Suharnizan, jika perkara itu boleh dipersetujui atau ada tawaran untuk diselesaikan di luar mahkamah, pihaknya boleh mempertimbangkannya.

“Tapi kalau dia senyap, kita boleh cari dia atau kalau tidak, kita terpaksa berjumpa di mahkamah,” tegasnya.

Pihaknya turut meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan sewajarnya termasuk menyiasat akaun Facebook palsu menggunakan nama Suharnizan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain ketika dihubungi berkata, siasatan kes itu setakat ini masih belum ada apa-apa perkembangan terbaharu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!