X

Kindly register in order to view this article
!

Kluster baharu Covid-19 di Pulau Pinang

KKM mengesan satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Ara di Pulau Pinang.
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Ara di Pulau Pinang, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Memperincikan kluster itu, beliau berkata, terdapat dua kes positif dikesan setakat hari ini dengan kes indeks (kes ke-10,024) melibatkan lelaki tempatan berumur 44 tahun.

“Kes indeks dikesan positif Covid-19 melalui saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Sandakan, Sabah pada 15 September berikutan kedatangan kes dari Semenanjung Malaysia.

“Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan satu lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti iaitu anak saudara kepada kes indeks. Beliau dikesan positif pada 19 September dan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan,” katanya.

Bagi kluster itu, seramai 16 individu telah disaring setakat ini dengan 14 dikesan negatif, manakala punca jangkitan masih dalam siasatan.

Mengenai perkembangan beberapa kluster Covid-19 di Sabah, Dr Noor Hisham berkata, daripada 52 kes baharu hari ini, sebanyak 27 kes melibatkan Kluster Benteng LD, sekali gus menjadikan jumlah kes positif kluster itu meningkat kepada 578 kes.

Sehingga hari ini, seramai 8,627 individu disaring melibatkan 6,345 di Tawau, selain 2,281 di Lahad Datu dan satu di Sandakan.

“Bagi kes positif kluster ini, seramai 287 adalah warganegara dan 291 bukan warganegara yang melibatkan 191 rakyat Filipina dan 100 Indonesia,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes positif bagi Kluster Selamat meningkat kepada tujuh selepas terdapat dua kes baharu, manakala masing-masing naik satu iaitu Kluster Bakau kepada empat kes dan Kluster Pulau kepada 15 kes.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata, terdapat tiga kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKDP) secara pentadbiran masih aktif melibatkan dua lokaliti di Kedah iaitu Amanjaya dan Kota Setar, manakala satu di Sabah iaitu Penjara Tawau dan Kuarters.

Beliau berkata, seramai 13,591 individu disaring di PKPD secara pentadbiran Amanjaya dengan 16 dikesan positif; 13,575 individu negatif melibatkan tiga zon iaitu Zon Kenanga, Zon Mawar dan Zon Melor.

“Tempoh PKPD ini dilanjutkan sehingga 26 September di Zon Melor selepas 13 kes baharu dikesan di zon itu pada hari ke-13 PKPD dilaksanakan.

“Kesemua 16 kes positif adalah warganegara Malaysia. Sebanyak 600 sampel ulangan telah diambil dari Zon Melor pada 19 September dan masih menunggu keputusan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, bagi PKPD secara pentadbiran Kota Setar yang dijangka tamat 25 September ini, seramai 17,954 individu disaring dengan 17 kes dikesan positif; 17,320 negatif dan 617 masih menunggu keputusan.

Bagi PKPD secara pentadbiran di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Tawau, Sabah pula, ujian saringan telah meliputi seramai 6,345 individu dengan 426 dikesan positif; 4,120 individu negatif dan 1,799 masih menunggu keputusan, katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!