Nelayan hilang ditemui lemas

Mayat mangsa ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi terjatuh berhampiran jeti Segantang Garam Merbok, Kedah. - Foto APMM
Mayat mangsa ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi terjatuh berhampiran jeti Segantang Garam Merbok, Kedah. - Foto APMM
A
A
A

SUNGAI PETANI - Mayat nelayan yang hilang akibat dilanggar bot kelmarin ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh dekat jeti Segantang Garam, Merbok pagi tadi.

Mangsa, Zulkifli Mohamad, 52, yang keluar menangkap ikan dipercayai terjatuh selepas dilanggar sebuah bot yang dikatakan dipandu laju ketika melalui lokasi kejadian.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Ahmad Faizal Ahmad berkata, mangsa ditemui pada jam 8.10 pagi tadi oleh nelayan tempatan yang turut melakukan pencarian.

Menurutnya, operasi hari ini memasuki hari kedua membabitkan beberapa agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Operasi disertai seramai 32 anggota dan pegawai dibantu lebih 60 orang nelayan tempatan membabitkan beberapa kawasan sekitar Tanjung Dawai, Yan dan Merbok.

"Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bot dirempuh, nelayan dikhuatiri lemas

Beliau turut mengingatkan komuniti maritim berwaspada dengan cuaca dan keperluan memiliki Personal Locator Beacon (PLB) sebagai alat tambahan ketika menghadapi kecemasan di laut untuk membantu menyingkatkan tempoh masa pencarian dengan menghantar isyarat kecemasan serta lokasi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebarang maklumat mengenai kemalangan atau kecemasan di laut boleh dihubungi melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.