Dua bot ditahan bawa lebihan penumpang

Bot penumpang ditahan Maritim Selangor kerana membawa lebih penumpang, petang semalam.
Bot penumpang ditahan Maritim Selangor kerana membawa lebih penumpang, petang semalam.
A
A
A

PELABUHAN KLANG – Dua bot membawa lebihan penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, kedua-dua bot terbabit ditahan pada jarak kira-kira 6.7 batu nautika barat Sungai Buloh pada jam 2.13 hingga 2.55 petang.

“Dua bot tersebut ditahan ketika anggota sedang melakukan rondaan rutin di sekitar perairan Selangor.

“Anggota Maritim mendapati kedua-dua bot melanggar syarat sah lesen iaitu membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan.

“Kalau mengikut syarat lesen had muatan penumpang adalah 12 penumpang bagi setiap bot terbabit. Bagaimanapun, bot terbabit masing-masing membawa lebihan penumpang lima hingga ke 15 orang yang mana kebanyakan penumpang adalah warga tempatan,” katanya.

Menurut beliau, bot terbabit ditahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Selangor untuk siasatan lanjut.

“Mereka dilihat seakan mengambil remeh kesalahan berkenaan sekalipun ada beberapa bot penumpang lain pernah ditahan sebelum ini.

“Kesalahan ini dikhuatiri boleh membahayakan keselamatan penumpang mereka. Mungkin ia tidak penting bagi mereka, namun kami tidak berkompromi dengan mana-mana kesalahan.

Artikel Berkaitan:

“Malah kami tetap bertegas menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan keselamatan nyawa di laut,” katanya.