Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet bermesyuarat buat julung kali

Mustapa
Mustapa
A
A
A

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet, satu daripada enam Jawatankuasa Pilihan Khas yang dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, bermesyuarat buat pertama kali hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bajet Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata mesyuarat itu membincangkan secara lebih terperinci mengenai terma rujukan jawatankuasa berkenaan serta cadangan-cadangan rangka kerjanya bagi 2019.

"Jawatankuasa bersetuju mesyuarat diadakan secara berkala setiap bulan. Mesyuarat seterusnya dijadualkan pada 26 Februari dengan pembentangan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengenai kedudukan terkini ekonomi dan kewangan negara," kata Anggota Parlimen Jeli itu dalam kenyataan hari ini.

Selain Mustapa, mesyuarat itu dihadiri semua anggota jawatankuasa berkenaan iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (Wangsa Maju), Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching), Khoo Poay Tiong (Kota Melaka), Khairy Jamaluddin (Rembau) dan Datuk Alexander Nanta Linggi (Kapit).

Ia turut dihadiri pegawai kementerian dan jabatan yang bertindak sebagai wakil tetap (ex-officio) daripada Kementerian Kewangan (Pejabat Belanjawan Negara, Bahagian Cukai serta Bahagian Fiskal dan Ekonomi), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Akauntan Negara.

Lima lagi Jawatankuasa Pilihan Khas yang dibentuk ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang; Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri; Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender; Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Antara Negeri-Negeri dan Persekutuan; dan Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam.

Jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan ditubuhkan bertujuan memperkukuhkan fungsi institusi Parlimen. - Bernama

Artikel Berkaitan: