X

Kindly register in order to view this article
!

Pemilik baharu TRW lunas hutang lapuk KAFA

Norizam (kiri) bersama Yusri menjadi tulang belakang TRW ketika ini. - Foto FB TRW KELANTAN FC
A
A

MESKIPUN baru tiga minggu menggalas tanggungjawab sebagai pemilik Kelantan, Norizam Tukiman mengotakan janji 'mencuci' hutang lapuk The Red Warriors (TRW) apabila mengeluarkan belanja berjumlah RM3.6 juta untuk urusan tersebut.

Norizam atau Zamburger berkata, bayaran itu melibatkan hutang kepada 15 bekas pemain dan pegawai yang pernah 'bermandi peluh' bersama TRW bermula musim 2017, 2018 dan 2019.

"Kesemua tunggakan hutang itu berjumlah RM2.4 juta yang dibayar secara penuh kepada semua bekas pemain dan pegawai yang terlibat termasuk pengendali Kelantan musim ini (Yusri Che Lah).

"Bagaimanapun, hutang melibatkan beberapa lagi pemain dan pegawai akan diselesaikan secara berjadual. Untuk makluman, perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada pihak terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara bekas pemain yang terlibat ialah Khairul Fahmi Che Mat, Brendan Gan, Flavio Beck Junior, Bruno Lopez, Alaeddine Bouslimi, Alessandro Celin, Seydi L. Imam, Mohd Farish Shah Rosli, Mohd Badhri Radzi, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Nor Farhan Mohamad.

Barisan pegawai pula melibatkan Sathit Bensoh (bekas jurulatih TRW), Mohd Hisham Jainuddin (bekas jurulatih penjaga gol TRW) dan Mohd Hashim Mustapa (bekas jurulatih skuad Piala Presiden Kelantan) selain Yusri.

Pada masa sama, Zamburger turut melunaskan bayaran tunggakan gaji lima hingga enam bulan membabitkan barisan pemain yang menggalas cabaran bersama TRW musim ini.

Beliau memberitahu, kesemua jumlah berjumlah RM3.6 juta itu turut merangkumi bayaran perbelanjaan pasukan untuk mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M).

"Saya beli TRW (pada harga RM6.8 juta) dengan tujuan menyelamatkan pasukan dan berusaha menyelesaikan semua masalah yang ada sebelum ini. Selepas ini saya mahu barisan pemain memberikan tumpuan kepada prestasi permainan," ujarnya.

Sambil mengambil serius isu tunggakan gaji membabitkan skuad Piala Presiden dan Piala Belia, Norizam berkata, keutamaannya ketika ini adalah TRW bagi tujuan mendapatkan lesen kebangsaan.

"Sungguhpun begitu, saya tetap akan ambil berat dan akan pertimbangkan juga untuk bayar gaji pemain Presiden dan Belia. Saya akan rujuk perkara ini dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA)," jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!