X

Kindly register in order to view this article
!

Pejabat Azmin, Hilman disita

Mohamed Azmin (kiri) dan Muhammad Hilman
A
A

GOMBAK - Pejabat Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham di Taman Berjaya di sini disita oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) hari ini.

Difahamkan, notis pengosongan dikeluarkan ke atas bangunan tersebut yang dahulunya merupakan dewan awam sebelum dijadikan Pusat Khidmat oleh ADUN terdahulu, Hasbullah Ridzwan sebelum diambil alih oleh Mohamed Azmin dan Muhammad Hilman.

Tindakan pengosongan itu dipercayai ada kaitan dengan status kedua-dua wakil rakyat tersebut yang bukan lagi ADUN mewakili kerajaan negeri selepas menyertai Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu).

Muhammad Hilman ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan perkara itu, namun tiada di pejabatnya ketika tindakan diambil kerana berada di Sabah.

Penguat kuasa MPS menyita dua pejabat wakil rakyat berkenaan hari ini.
Penguat kuasa MPS menyita dua pejabat wakil rakyat berkenaan hari ini.

Menurutnya, beliau melihat tindakan oleh kerajaan negeri dengan merampas kembali pusat khidmat itu sebagai tindakan yang merugikan rakyat.

"Tindakan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) dan kerajaan negeri menyita pusat khidmat dan menghalau saya keluar hanya akan merugikan rakyat DUN Gombak Setia.

"Pusat Khidmat tersebut adalah pejabat untuk saya bertemu dengan rakyat, pimpinan tempatan dan warga yang memerlukan," katanya menerusi kenyataan di aplikasi WhatsApp hari ini.

Katanya, langkah tersebut juga seperti tindakan balas dendam susulan pihaknya tidak lagi bersama Pakatan Harapan (PH).

"Walaupun saya bukan lagi ADUN PH, namun saya dan Mohamed Azmin masih melaksanakan khidmat dan menyalurkan bantuan kepada warga Gombak.

"Jika MB dan kerajaan negeri mahu menghukum saya kerana tidak lagi menyokong PH, mereka sepatutnya berdepan dengan saya dan bukan menghukum rakyat dan para pengundi Gombak Setia," katanya.

Sementara itu, wakil MPS ketika dihubungi memaklumkan akan memberikan kenyataan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!