Pelajar sekolah terlibat aksi samseng jalanan ditahan

Bukti rakaman menunjukkan aksi sekumpulan penunggang menunggang secara bahaya di Kilometer 17,Jalan Jerantut-Temerloh, kelmarin. (Gambar kecil: Mazlan)
Bukti rakaman menunjukkan aksi sekumpulan penunggang menunggang secara bahaya di Kilometer 17,Jalan Jerantut-Temerloh, kelmarin. (Gambar kecil: Mazlan)
A
A
A

JERANTUT - Lima pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah menengah di sini ditahan semalam selepas dikenal pasti terlibat dalam aksi menunggang motosikal secara berbahaya di Kilometer 17, Jalan Jerantut-Temerloh, 10 September lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.32 petang itu, kumpulan pelajar berkenaan didapati menunggang tanpa topi keledar dengan aksi menunduk bagi menguji motosikal yang diubah suai.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Hasil pemeriksaan mendapati tiga daripada mereka tiada lesen memandu. Aksi mereka bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah merisikokan pengguna jalan raya yang lain," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa memantau anak-anak bagi mengelakkan terlibat dengan kegiatan samseng jalanan.

Menurutnya, polis akan meneruskan operasi membanteras kegiatan samseng jalanan bagi memberi pendidikan kepada golongan muda terutama pelajar supaya tidak terlibat dengan perkara itu.

Artikel Berkaitan: