Abe ikrar pulih hubungan dengan Korea Utara

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe. - Foto AFP
Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe. - Foto AFP
A
A
A

TOKYO - JEPUN. Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe berikrar akan menamatkan 'rasa saling tidak percaya' dengan Korea Utara dan akan bersemuka dengan pemimpinnya, Kim Jong Un bagi memperbaiki hubungan diplomatik kedua-dua negara.

"Saya akan bertindak dengan tegas, dan merebut peluang untuk menamatkan rasa saling tidak percaya, malah saya sendiri akan bertemu Kim Jong Un di samping menyelesaikan isu nuklear dan peluru berpandu Korea Utara, tidak ketinggalan isu penculikan," kata Abe ketika berucap di pembukaan Parlimen hari ini.

Tanpa menyatakan tarikh pertemuan dengan pemimpin Korea Utara terbabit, Abe berhasrat agar kedua-dua negara dapat melupakan apa yang telah berlaku terutama ketika penaklukan Jepun ke atas Semenanjung Korea sebelum dan semasa Perang Dunia ke-2.

Mesej berkenaan dilihat berbeza dengan pendekatan Abe sebelum ini yang memaksa Korea Utara mengubah dasarnya dan melabelkan program nuklear Pyongyang sebagai ancaman besar.

Abe juga telah lama berhasrat menyelesaikan perbalahan emosi berhubung penculikan warga Jepun oleh agen Korea Utara ketika era Perang Dingin untuk tujuan melatih perisik Pyongyang.

Dalam pada itu, menyentuh hubungan dengan China, Abe berkata hubungan kedua-dua negara telah kembali normal selepas beliau melawat Presiden Xi Jinping di Beijing tahun lalu, dan presiden China itu turut dijadual melakukan lawatan rasmi pertama ke Jepun, tahun ini. - AFP

Artikel Berkaitan: