X

Kindly register in order to view this article
!

KPDNHEP kenal pasti mekanisme sesuai pelitup muka

A
A

JOHOR BAHRU - Satu mekanisme sesuai akan dikenal pasti bagi mengesan pelitup muka yang tidak memenuhi fungsi pemakaian ataupun tidak mengikut piawaian sebenar bagi menghalang penularan Covid-19.

Timbalan Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan bekerjasama dengan Jabatan Kimia Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengenal pasti mekanisme itu.

Menurut beliau, terlalu banyak jenis pelitup muka yang ditawarkan di pasaran sehingga ada yang menawarkan harga terlalu murah tetapi tidak dapat dipastikan keberkesanan penggunaannya.

Justeru, KPDNHEP mahu memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya memilih pelitup muka yang sesuai dan tepat ketika membeli di pasaran.

"Pelitup muka tiga lapis perlu memenuhi fungsi kita memakai pelitup muka iaitu untuk menghalang penyebaran Covid-19 tapi apabila kita periksa di makmal tadi ada pelitup muka yang kita dapati tidak memenuhi fungsi berkenaan,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat sebuah syarikat pengeluar pelitup muka di sini hari ini..

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna negeri Dr Chong Fat Full.

ARTIKEL BERKAITAN: Harga pelitup muka turun lagi

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai bagaimana mengesan pelitup muka yang tepat dan mempunyai fungsi terbaik bagi menghalang penularan wabak Covid-19 dan sama ada kementerian mempunyai piawaian tertentu untuk mengenal pasti pelitup berkenaan.

Menurut Rosol, difahamkan hanya ada satu syarikat pengeluar pelitup muka di Johor dan KKM sahaja yang mempunyai peralatan menguji keberkesanan penurasan pelitup muka.

Dari 29 Januari tahun ini sehingga semalam, sebanyak 3,712 pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis yang menjual dan membekalkan pelitup muka kepada pengguna dan sebanyak 174 aduan berkaitan pelitup muka telah diterima di negeri ini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!