Harga pelitup muka turun lagi

Harga siling pelitup muka tiga lapis akan diturunkan lagi bulan depan.
Harga siling pelitup muka tiga lapis akan diturunkan lagi bulan depan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi jaminan harga siling pelitup muka tiga lapis akan diturunkan lagi bulan depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya dalam peringkat akhir perbincangan untuk menetap harga siling itu berdasarkan permintaan semasa.

“Kami jangka harga siling pelitup muka akan turun lagi bawah RM1,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia 2020 di Lulu Hypermarket di sini hari ini.

Alexander berkata, pihaknya sentiasa memantau bekalan pelitup muka di peringkat pengeluaran, import dan runcit bagi menentukan penurunan harga maksimum yang sewajarnya berdasarkan kepada situasi pasaran semasa.

“Kita tidak mahu harga yang terlalu rendah sehingga memberi masalah kepada pengilang dan berdepan dengan ketidakcukupan stok.

"Bukan mudah bagi kami hendak letak harga siling, tetapi kami buat dengan menyelidik dan mengambil usaha untuk tengok keadaan sebenar sebelum meletakkan harga siling itu,” katanya.

Harga siling runcit bagi sekeping pelitup muka tiga lapisan ditetapkan RM1 berkuat kuasa 16 Ogos lalu.

Sermentara itu, menurutnya, Kempen Beli Barangan Malaysia 2020 akan diperluaskan ke negeri-negeri lain bermula di Melaka minggu depan.

Artikel Berkaitan:

“Kita sudah membuat pelbagai perancangan untuk melancarkan kempen itu di semua negeri seperti di Melaka dalam tempoh seminggu lagi dan seterusnya di Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan sehingga ke Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Alexander berkata, kementerian sentiasa memantau perniagaan dalam talian dalam usaha melindungi pengguna.

“Kita tidak terlepas pandang untuk melindungi pengguna yang membeli dalam talian. Kita tumpu perhatian bagaimana hendak melindungi mereka berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada selain pemantauan dan risikan penguatkuasaan KPDNHEP,” katanya.

Menurut beliau, kementerian turut menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjalankan perniagaan dalam talian berikutan kebiasaan baharu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberi peluang perniagaan dalam talian melonjak naik. - Bernama