Masidi fokus sektor pertanian bantu golongan belia

Masidi melawat khemah peniaga yang menjual buah-buahan semasa menjadi wakil rakyat sebelum ini.
Masidi melawat khemah peniaga yang menjual buah-buahan semasa menjadi wakil rakyat sebelum ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pertanian dan ekonomi akan menjadi keutamaan calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun apabila diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Masidi yang bertanding kali kelima di DUN Sabah itu berkata, dua perkara tersebut lebih menjurus kepada golongan belia di daerah Ranau.

“Kali pertama saya bertanding pada 2004 dan tumpuan ketika itu termasuk meningkatkan infrastruktur seperti jalan dan bekalan air.

"Kali ini pertanian menjadi keutamaan kerana golongan belia boleh mewujudkan pekerjaan sendiri bagi meningkatkan sumber ekonomi,” katanya dalam satu temu bual bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Beliau berkata, aktiviti pengeluaran bahan makanan yang dilihat lebih menguntungkan masih kurang diminati oleh golongan muda walaupun ia mampu mewujudkan pekerjaan sendiri tanpa perlu ‘makan gaji’ dengan pihak luar.

Masidi mengadakan tinjauan ke tapak pertanian milik penduduk di salah sebuah kampung di Ranau semasa menjadi wakil rakyat sebelum ini.
Masidi mengadakan tinjauan ke tapak pertanian milik penduduk di salah sebuah kampung di Ranau semasa menjadi wakil rakyat sebelum ini.

Beliau berharap aktiviti itu mampu menggalakkan peningkatan petani muda dan pada masa sama mencari jalan untuk membantu mereka serta menggalakkan ramai mengambil jurusan pertanian moden.

“Kita juga mahu menggalakkan lebih ramai belia terlibat di alam keusahawanan. Istilah ‘makan gaji’ itu saya fikir sudah berakhir. Pada musim pandemik Covid-19 ini ramai yang telah kehilangan pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, kini kita perlu mewujudkan pekerjaan sendiri dan saya lihat bidang pertanian contoh terbaik untuk mereka ceburi.

“Dana permulaan itu kita akan fikirkan bagaimana untuk mencari bagi membolehkan petani muda dan usahawan ini dapat memulakan perniagaan mereka," katanya.