UMNO Selangor gerak jentera bantu PRN Sabah

Noh bergambar bersama penduduk pada Majlis Perasmian Penutup Program Berkayak Hari Malaysia Kasihi Sungai Kita di Pekarangan Pasti Sungai Kajang, Tanjong Karang di sini hari ini.
Noh bergambar bersama penduduk pada Majlis Perasmian Penutup Program Berkayak Hari Malaysia Kasihi Sungai Kita di Pekarangan Pasti Sungai Kajang, Tanjong Karang di sini hari ini.
A
A
A

TANJONG KARANG - UMNO Selangor menggerakkan jentera bagi membantu kempen Barisan Nasional (BN) di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Tenom pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, dua DUN itu iaitu di DUN Melalap dan Kemabong.

Menurutnya, beliau yakin dua calon BN iaitu Jamawi Jaafar di kerusi DUN Melalap dan Datuk Raimi Unggi di DUN Kemabong mampu memberikan kemenangan kepada BN.

"Kedua-dua calon BN ini ada peluang untuk menang pada PRN Sabah," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup Program Berkayak Hari Malaysia Kasihi Sungai Kita di Pekarangan Pasti Sungai Kajang, Tanjong Karang di sini hari ini.

Mengulas mengenai program itu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, program kayak itu merupakan anjuran bersama UMNO dan Pas di bawah Muafakat Nasional.

Katanya, seramai 60 belia mengambil bahagian dalam aktiviti berkayak itu yang dilihat berpotensi dibangunkan sebagai produk pelancongan di Tanjong Karang pada masa depan.

"Kita ingin hidupkan aktiviti sukan kayak ini selain ingin menarik pelancong luar hadir ke sini bagi melihat keindahan Pantai Sungai Kajang yang diusahakan penduduk secara bergotong-royong tanpa bantuan daripada mana-mana pihak.

"Pelancong yang datang ke sini tentunya teruja melihat panorama matahari terbenam di kawasan pantai ini," katanya.

Artikel Berkaitan: