X

Kindly register in order to view this article
!

Op Benteng: 120 pendatang tanpa izin ditahan

Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan tegas pihak berkuasa dalam mengekang kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini menyaksikan 122 individu termasuk dua tekong ditahan dalam Operasi Benteng yang dijalankan semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua mereka ditahan kerana memasuki sempadan negara melalui laluan tidak sah dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Operasi Benteng melibatkan polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

“Sebanyak 79 sekatan jalan raya Operasi Benteng dilaksanakan semalam membabitkan PDRM (57), Aksem (10) dan ATM (15),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki hari ke-182 semalam menyaksikan seramai 68 individu ditahan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah itu seramai 66 individu dikompaun, manakala dua direman.

“Antara kesalahan adalah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (21), tidak memakai pelitup muka (18), gagal melunaskan bil kuarantin (3) dan tangkapan pendatang tanpa izin (2),” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai lalu hingga semalam, 29,438 individu pulang ke tanah air dari 32 negara menjalani kuarantin wajib dan kesemua mereka ditempatkan di 72 hotel.

"Mereka juga ditempatkan di lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian tinggi swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

"Daripada jumlah itu, 9,737 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 71 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 19,630 individu didiscaj serta dibenarkan pulang,” katanya.

Katanya, mereka terdiri daripada yang pulang dari Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu.

"Negara lain ialah Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!