X

Kindly register in order to view this article
!

DNA bola sepak cetus tanda tanya

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (dua dari kiri) bersama De Roo (kiri) ketika melancarkan DNA bola sepak Malaysia pada 9 Julai tahun lalu.
A
A

“GARA-GARA dia sudah tidak ada lagi, kita kena start semula dalam memperkasa program pembangunan bola sepak negara. Saya ada tunggu-tunggu juga sebelum ini, bila dia hendak implementasi formasi 4-3-3 yang berkaitan DNA bola sepak Malaysia.”

Itu kata jurulatih berpengalaman negara, Mohd Azraai Khor Abdullah ketika diminta mengulas keputusan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Peter De Roo tidak menyambung kontraknya yang berakhir hujung tahun ini.

Mohd Azraai berkata, beliau berharap FAM mengambil pendekatan lebih serius untuk memilih pengarah teknikal yang baharu dalam usaha mengangkat maruah bola sepak negara di pentas antarabangsa.

“FAM sebagai badan induk bola sepak negara perlu melakukan kajian lebih teliti lagi sebelum melantik pengarah teknikal baharu supaya perkara ini tidak lagi berulang pada masa akan datang.

“Apabila De Roo tidak menyambung kontraknya, ia secara tidak langsung akan merencatkan dan seterusnya membantutkan agenda pembangunan bola sepak negara yang sudah dilancarkan FAM sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.De Roo, 50, adalah individu yang bertanggungjawab memperkenalkan DNA bola sepak Malaysia yang dilancarkan secara rasminya pada 9 Julai tahun lalu.

DNA bola sepak Malaysia yang juga dipanggil The Malaysian Way atau Cara Malaysia adalah manifestasi falsafah bola sepak negara yang turut merangkumi sistem kejurulatihan yang seragam merentasi semua peringkat umur dari peringkat akar umbi sehingga elit.

Ditanya sama ada DNA itu perlu dikekalkan atau diolah selepas pelantikan pengarah teknikal yang baharu, beliau memberitahu: “Pada saya setiap pengarah teknikal kena fleksibel dan bijaksana dalam menyesuaikan taktikal kerana formasi bola sepak ini just a numbers.

“Begitu juga dengan DNA bola sepak Malaysia juga kena fleksibel dan kondusif dengan persekitaran bola sepak negara ini secara keseluruhannya,” jelas bekas pengendali Kedah, Perak, Kelantan, Sabah, T-Team, Negeri Sembilan serta skuad Harimau Muda A itu.

Mengenai pemilihan calon pengganti De Roo, Azraai Khor berkata, pengarah teknikal yang baharu dilantik nanti perlu memahami budaya serta fleksibel dengan bola sepak di negara ini.

“Sekiranya orang tempatan, kena pastikan calon itu adalah orang yang penuh dengan ilmu bola sepak di dada terutamanya bola sepak moden. Jika FAM mahu menawarkan tempat kepada legenda atau ‘otai’ bola sepak negara, pastikan mereka ini mengikuti perkembangan bola sepak moden.

“Ini kerana kita tidak mahu mereka terbawa-bawa dengan kejayaan silam kerana sukan ini sentiasa berubah. Namun, jika FAM bercadang melantik individu dari luar negara, kena pastikan juga calon berkenaan memahami budaya dan persekitaran bola sepak negara ini,” ujarnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!