Lima suspek samun, tetak pemandu lori ditahan

Gambar kecil: Mohamed Nordin
Gambar kecil: Mohamed Nordin
A
A
A

IPOH - Tidak sampai 24 jam, polis berjaya memberkas lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian tetak dan samun seorang pemandu lori di taman Arkid di sini hari ini.

Kejadian sekitar jam 4 petang semalam, mangsa berusia 40 tahun cedera di pergelangan tangan kanan akibat ditetak dengan parang oleh sekumpulan lelaki bertopeng sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM500.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamed Nordin Abdullah berkata, bertindak atas maklumat, operasi mengesan suspek dijalankan oleh sepasukan polis dari Cawangan Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan Task Force Balai Polis Jelapang.

Menurutnya, tangkapan suspek berusia 19 hingga 37 tahun itu dilakukan di empat serbuan berasingan antara jam 1.13 pagi hingga 6.50 pagi.

“Tangkapan pertama dilakukan di sebuah rumah di Taman Meru Fasa 2B dan seterusnya menahan dua lelaki di sebuah bengkel di Taman Gunung View.

“Penahanan itu membawa tangkapan dua lagi lelaki di Halaman Ampang Mewah dan Kampung Tawas pada jam 6.10 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, polis telah merampas sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback dan sebilah parang sepanjang 18 inci.

“Parang tersebut dirampas dalam serbuan di bengkel kereta berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.