Anita yakin pertahan kerusi Tandek

Anita (dua kanan) ketika berada di pusat penamaan calon DUN Tandek baru-baru ini
Anita (dua kanan) ketika berada di pusat penamaan calon DUN Tandek baru-baru ini
A
A
A

KOTA MARUDU - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek, Datuk Anita Baranting yakin mampu mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah walaupun bertanding atas tiket Bebas.

Katanya, hasrat bertanding pada PRN kali ini untuk meneruskan kesinambungan perjuangan politik selain mahu membangunkan kawasan berkenaan.

“Terima kasih kepada penyokong di kawasan ini. Pada PRN kali ini, sekali lagi saya turun padang bertanding atas tiket Bebas bagi membawa pembangunan kepada rakyat di kawasan ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu, Anita menang bagi DUN Tandek atas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum ‘melompat’ ke Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi membentuk kerajaan negeri pada 2018 yang lalu namun beralih menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) baru-baru ini.

Anita Baranting - Foto sumber internet
Anita Baranting - Foto sumber internet

Difahamkan, pencalonannya untuk bertanding atas tiket Bebas kali ini disebabkan kerusi kawasan berkenaan diambil oleh rakan parti kerjasama Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS).

Anita turut menyeru penduduk dan pengundi di kawasan berkenaan dapat memberi peluang dan mandat untuk beliau meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat selepas 26 September nanti.

“Pada PRN kali ini, saya membawa lambang pokok dan saya mohon sokongan berterusan dari semua pengundi Tandek serta saya percaya akan dapat memenangi PRN kali ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada PRN kali ini, Anita akan berdepan lima pencabar lainiaitu dari Parti Bersatu Sabah (PBS) Hendrus Anding, calon Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Padis Majingkin, calon paling muda mewakili Barisan Nasional (BN) Yillson Yanggun, calon Parti Liberal Demokratik (LDP) Liensin @ Danny Leinsin Limpakan dan calon Parti Cinta Sabah (PCS) Andy Villson.