X

Kindly register in order to view this article
!

Pusaka, Allianz Malaysia lancar naskhah pertama mengenai Rukun Negara

Eddin (kiri) bersama Zakri menunjukkan naskhah pertama Projek Bina Bangsa, Rukunegara: Selayang Pandang pada pelancaran buku berkenaan di Bangsar kelmarin.
A
A

KUALA LUMPUR - Sempena ulang tahun ke-50 pengisytiharan Rukun Negara, Pusaka dan Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) melancarkan naskhah pertama bertajuk Projek Bina Bangsa, Rukunegara: Selayang Pandang.

Buku bersiri yang mengandungi keseluruhan 10 naskhah itu ditulis oleh Eddin Khoo iaitu pengasas Pusaka yang juga anak kepada sejarawan terkemuka, mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Buku dwibahasa bahasa Melayu dan Inggeris itu berkisar tentang pembentukan bangsa Malaysia yang dibincangkan secara mendalam dan disertakan dengan fakta daripada sumber rujukan yang dihimpunkan terdiri daripada Undang-undang Melaka disusuli Kesatuan Malaya, Pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Pembentukan Malaysia, Akta Bahasa Kebangsaan dan Kongres Kebudayaan Kebangsaan, Perjanjian Pangkor, Undang-undang Tanah Rezab Melayu, Dasar Ekonomi Baru dan Wawasan 2020.

Kesemua siri itu akan terbitkan secara berperingkat dengan terbitan pertama pada hujung bulan ini disusuli siri berikutnya yang dikeluarkan setiap dua minggu.

Berkongsi serba sedikit mengenai penghasilan buku berkenaan, Eddin berkata, beliau mengambil masa sehingga enam bulan untuk mengumpul bahan rujukan sebelum memulakan penulisan.

“Sebenarnya kajian ini telah lama saya lakukan secara peribadi cuma mula perincikan penyelidikan itu selepas pihak Allianz Malaysia sudi menyokong projek ini.

“Prosesnya agak rumit disebabkan banyak sumbernya berselerakan dan mengambil masa agak lama mengumpulnya tetapi menulisnya hanya tiga minggu,” katanya pada pelancaran buku Rukunegara di Bangsar kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Zakri Khir.

Naskhah pertama Projek Bina Bangsa, Rukunegara: Selayang Pandang
Naskhah pertama Projek Bina Bangsa, Rukunegara: Selayang Pandang

Beliau berharap projek tersebut dapat memberi makna kepada rakyat Malaysia memahami asas pembentukan negara.

“Buku Rukun Negara tidak ada... yang ada pun banyak merujuk kepada kajian dari segi akademik namun kajian itu tidak terlalu mendalami sejarah pembentukan Rukun Negara ini, hanya huraian Rukun Negara.

“Jadi bagi saya, buku ini salah satu usaha kecil untuk menyelamatkan ketiadaan sejarah itu,” katanya.

Sementara itu Zakri berkata, Allianz Malaysia terpanggil turut serta dalam penerbitan buku Rukunegara itu atas dasar tanggungjawab memberikan pemahaman kepada masyarakat berhubung aspirasi negara.

Katanya, penerbitan buku ini juga sedikit sebanyak dapat membantu merungkai kekeliruan masyarakat tentang beberapa isu termasuk pergelutan politik, isu perkauman dan lain-lain.

Buku berkenaan boleh didapati di kedai buku utama pada hujung September ini atau pesanan dalam talian boleh dibuat bermula Isnin ini di [email protected] yang dijual dengan harga RM30.

Sebanyak 1,000 naskhah akan diterbitkan untuk permulaan dan akan diulang cetak bergantung kepada permintaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!