Kedai makan, serbaneka di KL dibenarkan buka sehingga 2 pagi

Annuar (kanan) meninjau pelan gerak kerja pengindahan Taman Awam Bukit Kiara di Kuala Lumpur hari ini.
Annuar (kanan) meninjau pelan gerak kerja pengindahan Taman Awam Bukit Kiara di Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan membenarkan premis makan dan kedai serbaneka di Kuala Lumpur beroperasi sehingga jam 2 pagi mulai esok.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kebenaran itu selari dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang akhbar Khamis lalu.

Annuar berkata, perkara tersebut telah dipersetujui bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan bagi memberi peluang kepada peniaga menambah pendapatan memandangkan MKN telah memberikan kelonggaran tersebut.

"Pengusaha restoran sudah rugi banyak susulan tidak boleh berniaga langsung selama beberapa bulan. Jadi sekarang apabila sudah boleh berniaga, eloklah beri mereka peluang untuk tambah pendapatan.

"Cara pelaksanaannya DBKL akan perincikan dari segi pekeliling atau permohonan pada esok," katanya selepas merasmikan Program Pengindahan Taman Awam Bukit Kiara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam yang memutuskan untuk mengekalkan operasi perniagaan sehingga jam 12 malam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan.

Menurut kenyataan DBKL, keputusan tersebut dibuat bagi memudahkan pemantauan dilakukan bersama agensi berkaitan.

Sementara itu, Annuar berkata, walaupun kebenaran sudah diberikan, namun beliau berharap prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

"Jangan pula apabila sudah dibenarkan beroperasi sampai pukul 2 pagi, (peniaga) buka pula sampai waktu subuh. Setakat jam 2 pagi sudah cukup," katanya.