Polis cari saksi kes pemandu rempuh kedai serbaneka

Situasi kejadian kemalangan tular membabitkan sebuah kereta merempuh kedai serbaneka di Taman Sentosa, Klang pada Rabu.
Situasi kejadian kemalangan tular membabitkan sebuah kereta merempuh kedai serbaneka di Taman Sentosa, Klang pada Rabu.
A
A
A

KLANG - [DIKEMAS KINI] Polis meminta saksi kemalangan tular membabitkan sebuah kenderaan merempuh kedai serbaneka di Jalan Yusof Shahbudin 28, Taman Sentosa, dekat sini tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalam kejadian 4.30 petang pada Rabu, sebuah kereta telah melanggar sebuah kedai serbaneka ekoran hilang kawalan pemanduan.

Beliau berkata, kereta tersebut dipercayai dipandu oleh seorang wanita berbangsa melanggar pintu masuk kedai serbaneka tersebut.

Namun begitu kata beliau, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

"Siasatan awal polis mendapati wanita tersebut dipercayai tertekan pedal minyak dan menyebabkan kenderaannya hilang kawalan.

"Ia menyebabkan kenderaan yang dipandu terus meluru ke depan dan melanggar pintu masuk kedai terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, semasa pihak polis sampai di tempat kemalangan mendapati kenderaan terlibat telah beredar dari lokasi kejadian.

Sehubungan itu katanya, pihak polis meminta orang ramai yang berada di lokasi kejadian dan melihat kemalangan tersebut supaya tampil membantu siasatan.

Jelasnya, saksi kejadian boleh hadir ke bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik Klang Selatan atau menghubungi talian 03-33722222.